Berita

Ketua Pengarah Tourism Malaysia bukan dipecat, tapi turun pangkat – Tiong

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 24 Februari 2024 3:15 PM MYT

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar  dipecat daripada jawatan itu, sebaliknya beliau diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Tiong berkata keputusan itu dibuat berdasarkan faktor kemerosotan prestasi Ammar, disifatkan beliau sebagai tidak memuaskan, selain tidak mencapai standard ditetapkan walaupun telah beberapa kali dinasihat dan diberikan peluang.

“Saya bagi dia peluang pasal dia ada PhD (Doktor Falsafah) Pelancongan. Bila dia jalankan tugas dia tak membuktikan dia ada PhD… Pelancong datang sini, tapi destinasi baharu tiada (kerana) dia tidak lakukan libat urus dengan negeri dan negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan berhubung pemecatan Ammar susulan penularan surat bertarikh 22 Feb berkenaan notis penamatan pelantikan Ammar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia berkuat kuasa Isnin depan.

Surat berkenaan antara lain memaklumkan penamatan perkhidmatan Ammar itu dilakukan selaras dengan peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tiong berkata tiada libat urus dengan pemain industri juga menjadi antara punca pegawai itu diturunkan pangkat.

“Contoh China, saya kata (sasaran) lima juta masuk, pasal mereka betul-betul pelancong dan mereka berbelanja, (tapi) dia kata tak boleh capai, hanya tiga juta pelancong sahaja.

“Namun pelancong yang datang pun tidak sampai tiga juta, (hanya) 1.6 juta pelancong saja. Maksudnya anda tidak menjalankan libat urus, negeri lain mengadu kepada saya kenapa Tourism Malaysia mohon ini tak dapat, tak ada jawapan… jadi ini kita sudah nampak kelemahan itu semua,” katanya.

Beliau berkata walaupun Ammar bakal akan bersara pada bulan Mac tahun hadapan, namun beliau tidak boleh menunggu sehingga tempoh itu dan perlu untuk membuat keputusan demi kelangsungan industri pelancongan Malaysia.

Sementara itu, Tiong berkata Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) yang juga memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), P. Manoharan akan dilantik menggantikan Ammar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas