Berita

KSM fokus beri latihan kemahiran dan teknikal kepada pekerja

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 24 Februari 2024 3:45 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) pada tahun ini akan lebih fokus dalam meningkatkan kemahiran pekerja dengan memberikan latihan teknikal dan kemahiran supaya produktiviti mereka dapat ditingkatkan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata fokus KSM itu adalah untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka dalam masa yang sama mahu memastikan pekerja mendapat gaji yang tinggi.

“KSM pada tahun ini mahu pergiat usaha bantu golongan pekerja mendapatkan latihan kemahiran dan teknikal supaya mereka dapat naik gaji berdasarkan sijil serta latihan tersebut, ada dua perkara di sini iaitu kita nak bantu pekerja dapat gaji tinggi dan setimpal serta dalam masa sama nak bantu majikan mendapat keuntungan tinggi.

“Ia seperti seakan  bercanggah namun  untuk saya bagaimana kita nak tutup jurang perbezaan ini dan jawapannya adalah produktiviti, kena tingkatkan (produktiviti) dan bukan sahaja majikan boleh dapat untung tapi pekerja dapat gaji lebih bagus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Latih MADANI (KLM) dan Program Kesuma MADANI (PKM) di Dewan Ng Yam Huat, turut hadir Pengerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Sim berkata KSM juga bertungkus lumus untuk memperkuat dan  membangunkan sumber manusia di negara ini serta komitmen untuk  menjayakan misi strategik 3K iaitu menjaga kebajikan, meningkat kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja.

“Kerajaan telah menyediakan RM44 bilion untuk membantu syarikat, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membangunkan infrastruktur dan mendaki rantaian nilai melalui automasi, digitalisasi dan sebagainya.

“Selain daripada itu, kerajaan juga telah memperuntukkan RM6.8 bilion untuk meningkatkan produktiviti pekerja melalui latihan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional), ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu pekerja dan majikan kerana nasib kedua-dua pihak ini adalah berkait rapat,” katanya.

Sementara itu, Sim berkata KLM dan PKM di Pulau Pinang kali ini membawa lapan jabatan dan lima agensi di bawah KSM untuk memberikan perkhidmatan mereka terus kepada orang ramai di program tersebut.

Katanya KLM bertujuan untuk melibatkan pihak berkepentingan HRD Corp, menyediakan peluang peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada komuniti dan KLM Pulau Pinang adalah yang pertama dalam siri sehari berasaskan kemahiran yang dirancang agensi tersebut di seluruh negara.

“Menerusi program itu juga kami (KSM) menganjurkan Tahun Baharu Cina dengan mengubah sedikit pendekatan iaitu selain majlis keraian, kami bawakan lapan jabatan dan lima agensi turun padang memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat…mungkin ada yang datang boleh daftar untuk latihan kemahiran dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas