Berita

Festival makanan Kampong Bharu meriah

- Diterbit 24 Februari 2024 3:11 PM MYT

WARGA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya dipelawa untuk memeriahkan Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu yang diadakan hari ini.

Festival yang bermula pada pukul 9 pagi sehingga 11 malam bertempat di Medan Pintasan Saloma ini bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2024 dan 50 Tahun Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata festival ini merupakan inisiatif Perbadanan Kampong Bharu dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi meraikan penduduk sekitar dan pengunjung.

“Festival ini bertujuan untuk menonjolkan warisan budaya dan pelbagai juadah makanan yang terdapat di Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada orang ramai termasuk para pelancong.

“Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu ini juga dilengkapkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pemberian bubur lambuk percuma kepada para pengunjung, pertandingan memasak serta pertandingan busana melayu.

“Lebih 40 peniaga tempatan menawarkan pelbagai hidangan makanan tradisional Melayu yang merupakan tarikan utama festival ini.

“Pertunjukan seni dan budaya seperti tarian tradisional, persembahan nyanyian kebudayaan, pameran seni kraf tempatan turut diadakan,” ujar beliau orang ramai berpeluang membeli produk buatan tangan seperti songkok, chapal, batik dan pelbagai lagi barangan kraf tempatan asli yang berkualiti tinggi.

Zaliha berkata tapak Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu ini akan dikekalkan sebagai lokasi penganjuran acara, program atau festival secara berkala.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta NGO supaya Kampong Bharu kekal vibrant sebagai sebuah kampung dalam bandar raya yang masih mengekalkan warisan, budaya dan tradisi tetapi lengkap dengan infrastruktur moden.

“Penambahan fasiliti awam dan menaik taraf kemudahan rekreasi di Kampong Bharu dapat memberikan impak yang positif terhadap perkembangan ekonomi tempatan.

“Ikatan sosial dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti tempatan dengan kepelbagaian budaya serta keunikan warisan menjadi menjadi asas kepada keharmonian komuniti Malaysia MADANI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Tambahnya penganjuran mini festival ini bukan sahaja membawa kegembiraan dalam kalangan pengunjung, malah memberi impak yang positif terhadap ekonomi tempatan gus memberikan sokongan kepada industri kreatif tempatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas