Personaliti

Kesinambungan perjuangan Durrah

|||
- Diterbit 29 Oktober 2020 4:30 AM MYT

DILAHIRKAN dalam keluarga yang aktif berpolitik, membuatkan wanita yang dikenali sebagai Durrah Nur Fatin bersemangat menyambung perjuangan darah dagingnya untuk berbakti kepada masyarakat.

Bangga dengan ketokohan arwah datuk dan neneknya, Datuk Mohd Nazir Abd Jalil dan Datin Salmah Omar yang merupakan wakil rakyat dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Langat suatu ketika dahulu, Durrah mengakui mereka adalah inspirasi buatnya.

“Masa kecil dahulu, saya dibesarkan oleh nenek jadi secara tidak langsung saya sering mengikutnya turun padang untuk mendekati masyarakat selain turut serta dalam aktiviti dan acara politik.

“Ketika itu, nenek juga merupakan ketua kaum ibu, jadi sudah semestinya dia sering melibatkan diri dalam program kemasyarakatan sekali gus membuatkan saya mudah mendekati semua peringkat umur,” ujarnya kepada Wilayahku.

Biarpun tidak sempat mengenali datuknya, namun dia sering mendengar neneknya bercerita tentang kehebatan lelaki tersebut menggalas tanggungjawab penting menyuarakan masalah rakyat.

“Seawal usia tiga tahun saya sudah mengikuti nenek dan dia selalu berpesan, jika ingin membantu orang lain, kita jangan sesekali mengira perbezaan agama, budaya, bangsa mahupun ideologi politik. Itu yang saya pegang hingga ke hari ini,” kata wanita berusia 33 tahun ini.

Seiring masa berlalu, pemegang Ijazah Pengurusan Pelancongan dan Perhotelan Antarabangsa, Universiti Of Sunderland, United Kingdom ini terpanggil untuk bergiat aktif dalam politik sedari usia 18 tahun sejurus tamat zaman persekolahan.

Dia dilantik sebagai Naib Ketua Puteri Cawangan Hulu Langat pada tahun 2008 seterusnya menyandang jawatan Ketua UMNO Cawangan Kuala Gahal, Hulu Langat bermula 2018.

Ternyata bukan mudah untuk berada di posisi tersebut kerana tanggungjawab yang begitu besar namun ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk memperjuangkan suara anak muda.

“Saya bertanggungjawab di kawasan Hulu Langat yang merupakan kawasan antara bandar dan perkampungan. Jadi, saya turun sendiri ke dasar untuk melihat permasalahan yang berlaku.

“Mungkin dari segi luaran, nampak semuanya baik tetapi hakikat adalah sebaliknya. Jadi, dengan kuasa politik yang ada, saya akan menyalurkan bantuan yang diperolehi untuk membantu masyarakat di situ,” kata anak kelahiran Kajang ini.

Turut menggalas jawatan Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Langat bermula 2018, Durrah berkata jawatan tersebut memerlukannya berada di barisan hadapan ketika mesyuarat namun dengan kebenaran ketua.

“Apa-apa kenyataan, saya perlu keluarkan dan perlu lantang bersuara serta memberi pendapat berdasarkan usul atau perkara yang berbangkit ketika itu. Seterusnya akan membuat e- poster dan di sebarkan ke media sosial dan lain-lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, golongan muda kini kurang meminati politik dan sukar baginya untuk menarik minat mereka.

“Anak muda sekarang tidak seperti dahulu lagi. Bagi mendekati mereka, jangan ada unsur-unsur paksaan. Namun merekan ini perlu didekati dengan aktiviti antaranya perjumpaan sosial, e-sukan, perkelahan dan sebagainya,” ujarnya yang juga merupakan Eksekutif Pemasaran dan Jualan, Shaftsbury Stellar Putrajaya Hotel & Residences.

ANGKATAN PERTAHANAN AWAM (APM)

Biarpun jadualnya penuh dengan aktiviti saban hari, namun Naib Ketua Hal Ehwal Wanita, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMS WP) ini juga aktif sebagai seorang sukarelawan di APM sejak 13 tahun lalu.

Berkongsi cerita tentang penglibatannya bersama APM, dia pernah ditugaskan sebagai Sekereteriat Operasi dan Bencana ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), April lalu di Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Saya ditugaskan untuk mengambil data maklumat di setiap bungkusan yang terdapat di situ dan menghantar ke bahagian grafik. Selain itu, saya juga turut membantu pihak bertugas melancarkan urusan saringan COVID-19.

“Itu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan dan cukup berharga. Biarpun terdedah dengan keadaan yang merbahaya di kawasan yang berisiko tinggi namun saya dan pasukan tetap bersatu menentang wabak ini,” ungkapnya.

Selain itu, dia turut membantu para pelajar institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta yang terkandas di asrama ketika itu.

“Boleh dikatakan kami membantu semua kolej di Wilayah dengan membekalkan makanan dan barangan asas melalui dana yang diperuntukkan Kementerian Belia Sukan (KBS) dan sebagainya,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas