Fokus

80 peratus setuju pembangunan semula

PENGLIBATAN pemilik rumah teres membuka peluang penduduk flat menikmati kehidupan yang lebih selesa.
- Diterbit 28 Oktober 2020 4:32 AM MYT

PELABURAN YANG BERBALOI

SALAH seorang pemilik rumah teres di Jalan Datuk Abdul Malik yang dikenali sebagai Zulfakar Wahib, 52, mengakui sangat bersetuju dengan tawaran yang diberi oleh pihak pemaju kerana dirasakan ia amat berbaloi.

ZULFAKAR

“Setelah menerima tawaran, saya ambil sedikit masa untuk membuat kajian dengan bertanya kepada rakan-rakan yang arif tentang pembangunan. Ramai yang menyokong saya untuk menerima tawaran ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dia yang pernah tinggal di kawasan flat yang turut sama akan dimajukan berkata, keadaan rumah flat tersebut agak daif kerana faktor usia kediaman yang telah pun mencecah puluhan tahun.

“Celahan dinding pun boleh keluar air apabila mandi, kalau nak jual pun, mungkin pembeli akan berfikir dua kali sebelum bersetuju. Jadi, kenapa tidak lepaskan sahaja untuk sebuah
kondominium yang jauh lebih selesa.

“Bagi pemilik rumah teres seperti saya pula, kami akan diberi kondominium berdasarkan keluasan tanah rumah yang dimiliki. Ada yang boleh dapat lebih daripada sebuah, semuanya bergantung kepada kiraan,” ujarnya.

Tambah Zulfakar lagi, dia sama sekali tidak kisah ditawarkan kediaman tinggi biarpun sudah terbiasa duduk di rumah teres.

KITA AKAN PULANG SEMULA KE KAWASAN SENDIRI

MERUPAKAN antara individu yang terawal menandatangani perjanjian persetujuan bersama pihak pemaju, Sanita Yunus, 58 berkata, projek yang bakal dijalankan ini adalah peluang untuk membangunkan Kampung Sungai Baru.

SANITA

“Saya ingin membuktikan sesungguhnya pembangunan ini sangat baik yang mana kita akan ditempatkan semula di tanah yang telah dibangunkan. Itulah salah satu kelebihan yang akan diperoleh.

“Dalam masa yang sama, kita akan bangga menjadi anak jati Kuala Lumpur yang dulunya tinggal di rumah kecil dan pada masa depan mampu duduk di rumah yang lebih luas dan moden sesuai peredaran zaman,” ujarnya yang memiliki sebuah rumah teres di Jalan 5.

Tegasnya yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Sungai Baru, dia merupakan generasi kedua yang membantu menjaga serta membaik pulih persatuan.

“Persatuan ini ditubuhkan oleh penduduk veteran yang sudah lama bermaustatin di kawasan ini. Jadi, tugas kita sekarang adalah untuk menjaga kebajikan penduduk dengan menerangkan tujuan dan keuntungan yang akan diperolehi agar mereka tidak berasa tertipu.

“Setakat ini lebih 80 peratus yang sudah bersetuju dan selebihnya banyak terlibat dengan masalah harta pusaka. Mereka bukanlah menolak tetapi permasalahan tersebut menjadi salah satu punca. Namun, kita tetap akan berusaha membantu,” ujarnya yang bakal memperolehi empat unit kondominium serta lebihan wang pampasan.

PELUANG EMAS 

“DALAM keadaan ekonomi yang tidak stabil, ini merupakan tawaran terbaik yang perlu direbut,” ujar Raden Salikun Mui, 70 yang memiliki dua unit rumah teres di Jalan 4.

Katanya kepada Wilayahku, tawaran tersebut merupakan yang paling menguntungkan ketika ini.

RADEN SALIKIN

“Bayangkan, jika memiliki sebuah unit teres anda akan memperolehi sekurang- kurangnya tiga buah kondominium. Itu belum termasuk lebihan tanah yang akan diberi pampasan selain pengubahsuaian rumah juga akan turut dinilai semula.

“Dengan segala keistimewaan tersebut, saya rasa tidak masuk akal jika ada yang menolak. Tambahan pula, projek ini turut dipantau oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Katanya lagi, jika pembangunan tersebut berjaya dilaksanakan, maka secara tidak langsung ia akan menjadi salah satu projek perintis yang berjaya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Kalau kita tidak rebut peluang ini, kawasan ini tetap akan dibangunkan pada masa hadapan tetapi ketika itu adakah kita akan memperolehi keistimewaan yang ditawarkan seperti hari ini,” katanya.

Tambahnya, sejak menandatangani tawaran tersebut, dia sudah pun bertindak mengosongkan salah sebuah rumah teresnya yang disewa sebelum ini. “Alhamdulillah, pihak pemaju turut membayar rumah yang dikosongkan dengan amaun RM2,500 sebulan,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas