Berita

PKPD Hentian Kajang: Penduduk Jalani Swab Test COVID-19

|RUSMAN menunjukkan gelang yang dipakainya sebagai bukti sudah menjalani swab test|HENTIAN Kajang kelihatan lengang bukti penduduk di sini patuh arahan kerajaan agar duduk di rumah sepanjang tempoh PKPD
- Diterbit 30 Oktober 2020 5:30 AM MYT

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang, penduduk diarahkan menjalani ujian calitan atau swab test COVID-19.

Proses swab test ini dilakukan secara berperingkat mengikut blok dan melibatkan warganegara serta warga asing yang bermastautin di situ. 

Menurut salah seorang penduduk yang juga pengusaha salon di Hentian Kajang, Rusman Hussin,36, para petugas kesihatan sangat berdedikasi dan melayan penduduk sama rata.

“Awal pagi ini kami semua telah dipanggil oleh para petugas kesihatan untuk turun menjalani swab test. 

“Alhamdulillah.. keputusan swab test saya adalah negatif. Namun, saya tetap perlu menjalani kuarantin diri di rumah selama dua minggu bermula hari ini.

“Terima kasih kepada barisan hadapan termasuk petugas kesihatan, polis, askar  dan semua yang terlibat kerana memastikan yang terbaik buat kami di sini.

“Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian,” katanya kepada WILAYAHKU

RUSMAN menunjukkan gelang yang dipakainya sebagai bukti sudah menjalani swab test

Rusman juga akur dengar arahan kerajaan walaupun tidak dapat menjalankan bisnes salonnya, Iman Hair Studio.

Baginya, apa yang lebih penting adalah keselamatan semua penduduk.

“Tipulah kalau saya cakap tidak terkesan dengan penguatkuasaan PKPD di Hentian Kajang ini. Saya baru nak mulakan bisnes, tetapi terpaksa menghentikan operasi kerana akur dengan arahan kerajaan.

“Dalam tempoh ini, saya banyak menghabiskan masa beribadah di rumah dan mengatur semula strategi bisnes selepas tamat PKPD  nanti,” katanya lagi yang berharap ada sinar baharu dalam bisnesnya. 

Sesiapa yang mahu ke salon Iman Hair Studio boleh mendapatkan maklumat lanjut di http://www.imansalonbarber.com

HENTIAN Kajang kelihatan lengang bukti penduduk di sini patuh arahan kerajaan agar duduk di rumah sepanjang tempoh PKPD

Terdahulu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPD selama 14 hari melibatkan kawasan Flat Sungai Emas dan Plaza Hentian Kajang di Selangor berkuat kuasa pada 28 Oktober hingga 10 Nov depan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas