Berita

Kerjasama hadapi perubahan iklim

MAHADI (dua dari kanan) menunjukkan dokumen surat hasrat yang ditandatanganinya bersama Gabenor Tokyo, Yuriko Koike bagi membantu mereka bentuk kolam tadahan air bawah tanah di ibu negara.
- Diterbit 9 September 2022 3:22 AM MYT

LANGKAH-LANGKAH tindak balas perubahan iklim ekstrem menjadi agenda utama yang ditekankan menerusi kerjasama yang terjalin di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tokyo Metropolitan Government (TMG).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata surat hasrat (LoI) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak itu bakal mengukuhkan lagi kerjasama untuk menjadikan hubungan tersebut bermanfaat bagi penduduk di kedua-dua bandar iaitu Kuala Lumpur dan Tokyo.

Menurutnya, antara lain TMG dan DBKL bersetuju untuk terlibat dalam pertukaran praktikal serta kerjasama menerusi bidang pembangunan infrastruktur bandar dan infrastruktur penuaan (aging infrastructure); langkah-langkah alam sekitar bandar dan perkara berkaitan cabaran teknologi bandar.

“Hari ini kita tandatangan LoI di antara Kuala Lumpur dan Tokyo, banyak perkara yang diberi perhatian terutamanya mengenai pengurangan pelepasan karbon yang sekarang ini menjadi agenda dunia terutamanya berhubung perubahan iklim.

“Kita juga ada berbincang mengenai mitigasi banjir berkaitan ‘underground storage’ yang dilaksanakan di Tokyo dan ini merupakan sesuatu yang baharu bagi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani LoI di antara TMG dan DBKL serta taklimat berkaitan SMART Control Centre di Menara Seri Wilayah baru-baru ini.

Terdahulu, DBKL menerima lawatan kerja daripada 13 delegasi TMG selama tiga hari bermula 31 Ogos diketuai oleh Gabenor Tokyo, Koike Yuriko.

Selain itu, katanya delegasi TMG turut dibawa untuk melihat dan diberi taklimat berkaitan SMART Control Centre.

“Mereka juga datang untuk melihat SMART tunnel yang merupakan sesuatu yang baharu bagi mereka selain ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang kegunaan terowong berkenaan bagi tujuan trafik dan banjir,” katanya.

Justeru Shahidan berharap jalinan kerjasama itu dapat menangani isu-isu berkaitan perubahan iklim ekstrem selain terus menggalakkan pertukaran dalam bidang-bidang lain yang dipersetujui. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas