Berita

Penyelesaian banjir: DBKL bakal bina takungan air bawah tanah

SHAHIDAN (kanan) mengadakan perbincangan dengan Delegasi Tokyo yang diketuai Gabenornya, Yuriko Koike di pejabatnya baru-baru ini.
- Diterbit 9 September 2022 3:09 AM MYT

KUALA Lumpur bakal memiliki takungan air bawah tanah, seperti Tokyo, Jepun sebagai langkah mengatasi banjir kilat dalam jangka masa panjang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata itu antara cadangan yang diketengahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai ‘strategi’ menguruskan banjir di ibu kota.

Jelasnya, perkara itu masih dalam kajian menerusi perunding yang dilantik oleh DBKL.

“Ada cadangan jangka panjang berkenaan cara mengatasi banjir kilat di Kuala Lumpur untuk membuat penyimpanan air bawah tanah seperti di Tokyo.

“Ia ditakung dahulu supaya tidak berlaku banjir kilat atau air bertakung yang teruk. Maka air disimpan di bawah tanah.

“Kita sedang mengkaji perkara ini melalui perunding yang dilantik untuk mengeluarkan penemuan berkaitan perkara tersebut dalam tempoh empat hingga lima bulan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Media anjuran DBKL baru-baru ini.

Mengulas tujuan utama kajian berhubung tempat simpanan air bawah tanah itu, Mahadi menjelaskan ia bagi menentukan sama ada pelaksanaan langkah sedemikian sesuai atau sebaliknya.

Tambahnya, kajian turut merangkumi aspek mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk membina tempat simpanan air bawah tanah di Kuala Lumpur.

“Tujuan utama kajian ini ialah kesesuaian pelaksanaan penyimpanan air bawah tanah di
Kuala Lumpur dan lokasi berpotensi ia dijalankan kerana ia membabitkan graviti serta topografi kawasan tersebut.

“Ia perlu diletakkan di tempat paling rendah supaya mudah air disalirkan kepada lokasi yang kita kenal pasti sebagai tempat penyimpanan air,” katanya.

Mengenai persediaan DBKL menghadapi cuaca tidak menentu termasuk hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir kilat, Mahadi berkata pihaknya melakukan persediaan rapi terutama dari penyelenggaraan dan kebersihan tempat pengairan serta saliran seperti longkang.

Katanya, pihaknya juga merujuk data taburan hujan yang jauh lebih tinggi direkodkan di Kuala Lumpur berbanding sebelum ini, supaya persediaan dapat dibuat dengan lebih sistematik.

Selain itu, beliau turut mengadakan mesyuarat dengan syarikat pembersihan Alam Flora dan agensi berkaitan seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dari segi persiapan.

“Jadi data tersebut menjadi panduan kepada kita untuk memastikan longkang-longkang tidak dipenuhi sampah, daun kering atau botol minuman yang menghalang air dalam saliran serta menyebabkan berlakunya takungan air yang menjurus kepada banjir kilat jika hujan berpanjangan.

“Saya buat keputusan bahawa Alam Flora sebagai pihak kontraktor perlu keluarkan sijil yang mengesahkan sistem perparitan dan longkang yang dibersihkan olehnya tidak akan menghalang air hujan.

“Ini satu kaedah yang mana air dapat mengalir tanpa halangan walaupun hujan lebat. Pada minggu lalu, pendekatan ini (membersihkan longkang) berjaya dan kita tidak nampak takungan air besar yang boleh menghalang lalu lintas atau rumah dimasuki air,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gabenor Tokyo pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) di antara DBKL dengan Tokyo Metropolitan Government (TMG) yang diwakili Gabenornya, Yuriko Koike baru-baru ini menyifatkan hubungan akrab di antara Kuala Lumpur dan Tokyo telah merintis pelbagai kerjasama terutama berkaitan infrastruktur, mitigasi banjir dan program rendah karbon.

Katanya, ketika lawatan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ke Tokyo pada hujung Mei lalu, delegasi Kuala Lumpur telah mengadakan lawatan kerja ke kolam tadahan air bawah tanah Kandawa.

“Dua bulan selepas itu pada bulan Julai tahun ini, penasihat khas teknikal kami telah berpeluang melawat Kuala Lumpur bersama delegasinya yang mempunyai kepakaran mengadakan lawatan tapak dan berbincang mengenai pelbagai topik dan berminat untuk membantu Kuala Lumpur dalam reka bentuk.

“Kedua-dua bandar raya ini berkongsi isu bersama bukan sahaja tebatan banjir termasuklah infrastruktur,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua bandar raya ini turut bekerjasama rapat dalam isu melibatkan alam sekitar sejak pada tahun 2019 termasuklah dalam bidang kecekapan tenaga yang lebih baik dan rendah karbon. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas