Atlet Wilayah

Fitri idam kejayaan di SUKMA 2022

AKSI Fitri (kanan) ketika Karnival Seni Mempertahankan Diri (Pencak Silat) pada Mac lalu.
- Diterbit 9 September 2022 5:43 AM MYT

BIARPUN baru berusia 23 tahun namun atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Fitri Naim Azmi, berazam mahu mencipta kejayaan unggul dalam dunia persilatan antarabangsa.

Semangatnya terus berkobar dan tidak hairanlah dia berjaya menyumbang pingat buat negara pada ASEAN University Games (AUG) Julai hingga Ogos lalu di Thailand.

Sungguhpun hanya mampu meraih pingat gangsa namun ia dijadikan kayu pengukur untuk terus memburu kejayaan lebih hebat pada masa akan datang.

“Minat dalam sukan ini menjadikan saya lebih bersemangat ditambah pula dengan dorongan ahli keluarga yang tidak putus-putus memberikan galakan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya kepada Wilayahku.

Selain itu, pelajar jurusan Ijazah Sains Sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini memberitahu dia menjadikan pesilat negara Indonesia, Iqbal Chandra Pratama sebagai idolanya kerana kekuatan mental yang terdapat pada lelaki tersebut.

“Setiap kali perlawanan, dia akan bermain dengan sangat tenang dan tidak terburu-buru selain merupakan atlet yang sangat peramah dan menghormati orang sekeliling serta pihak lawan. Itu yang membuatkan saya kagum dan bercita-cita untuk menjadi sepertinya satu hari nanti.

“Sukan silat sebenarnya nampak macam mudah, namun tanpa kekuatan mental seseorang pemain tersebut tidak mampu beraksi dengan cemerlang,” ujar anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini.

Beralih kepada perkembangan terbaharunya, Fitri mengakui sedang giat menjalani latihan untuk mempersiapkan diri menjelang kejohanan SUKMA 2022 yang akan berlangsung pada 16 September ini.

“Pelbagai persiapan telah dilakukan dan saya berharap terpilih untuk beraksi dalam SUKMA kali ini yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur. Saya akan buat yang terbaik, insya-Allah.

“Sebagai atlet, saya perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal kerana sukan silat ini memerlukan persediaan yang tinggi agar tidak gentar di gelanggang.

“Saya berharap kita boleh mengutip seberapa banyak pingat emas yang boleh bukan sahaja untuk silat, tetapi juga untuk sukan lain. Kita berlawan dan berlatih di sini, kita patut menang,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas