Berita

Kerja baik pulih perkhidmatan telekomunikasi di Nanga Ngungun dijangka siap esok – Fahmi

- Diterbit 12 Disember 2022 3:47 PM MYT

KERJA baik pulih perkhidmatan telekomunikasi dan capaian Internet di Nanga Ngungun, Kanowit, Sarawak yang dilaporkan terjejas sejak 7 Dis lepas dijangka siap tengah hari esok.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook berkata beliau menerima aduan mengenai masalah itu dan telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mendapatkan maklumat serta tindakan segera.

“Saya difahamkan pada 7 Dis lepas, genset ke menara perkhidmatan di Bukit Melapi rosak dipercayai akibat litar pintas.

“Menara ini di bawah program Universal Service Provision yang diselenggara syarikat Celcom. Pihak Celcom telah ke tapak hari ini dan melaporkan bahawa alat-alat gantian akan tiba dari Kuching pagi esok,” katanya.

Beliau berkata MCMC telah diminta untuk memberikan perkembangan terkini sejurus kerja-kerja baik pulih selesai. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas