Sekilas

Che nah tak mahu susahkan anak

ANNUAR menyerahkan lesen perniagaan kepada Che Nah.
- Diterbit 12 Jun 2020 10:00 AM MYT

MINAH Awang atau Che Nah tiba-tiba popular selepas gambarnya sujud syukur selepas menerima lesen perniagaan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa 4 Jun lalu tular di media sosial.

Wanita gigih berusia 71 tahun ini menetap di Paya Jaras, Selangor memandu sendiri mini vannya ke lot parkir Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara untuk berniaga setiap pagi.

Wilayahku menyelusuri kisah Che Nah yang memulakan perniagaan menjual menu sarapan pagi sejak tahun 1985 bersama-sama dengan Allahyarham suaminya di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

“Saya memulakan perniagaan seawal 6.40 pagi hingga 9.30 pagi dan menyediakan menu dari Pantai Timur iaitu nasi kerabu, nasi dagang, nasi lemak, laksam serta kuih-muih. Kami turut membuka beberapa meja untuk pelanggan di kawasan itu.

“Pelanggan saya tidak terhad di kawasan TTDI, malah kami turut menerima pelanggan daripada Bukit Damansara yang datang semata-mata untuk merasai masakan saya. Hingga kini, sudah tiga hingga empat generasi yang menjadi pelanggan tetap saya,” katanya.

Che Nah berkata, setelah berniaga 19 tahun, beliau dan suami mengambil keputusan untuk membeli sebuah trak makanan secara sambung bayar daripada seorang rakan pada tahun 2004 dengan harga RM59,000.

“Dengan trak tersebut, kami dapat membesarkan perniagaan termasuk mula berniaga di kawasan Bukit Damansara sejak tahun 2004 sehingga kini.

“Tapak di TTDI pula diserahkan kepada seorang anak kami yang juga seorang ibu tunggal untuk berniaga di situ,” katanya.

Ibu kepada empat anak ini memberitahu, setelah suaminya meninggal dunia pada tahun 2006, beliau meneruskan perniagaannya dan memandu sendiri trak tersebut bersama dengan seorang pembantu.

Meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan ketika berniaga, beliau tidak pernah putus asa, malah semangatnya tidak pernah luntur dan selebihnya beliau sentiasa bertawakkal.

“Kalau ditanya masalah saya, sudah berpuluh-puluh kali turun naik menghadap pegawai. Malah dengan lima Datuk Bandar Kuala Lumpur telah silih berganti, namun permohonan saya untuk berniaga secara bergerak tetap ditolak dengan alasan lesen dibekukan.

“Pernah hampir setiap minggu trak ditunda. Saya juga pernah diangkut sekali dan dikenakan kompaun RM300 oleh penguatkuasa jika mahu dilepaskan,” katanya.

Beliau bersyukur apabila penat lelah turun naik tangga bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama 35 tahun ini berbalas apabila semuanya berakhir dengan kenangan manis.

Che Nah berkata, beliau juga terpaksa membayar kompaun DBKL beribu-ribu ringgit kini boleh menarik nafas lega apabila menerima lesen perniagaan baru-baru ini.

Walaupun sudah bergelar warga emas, Che Nah semakin bersemangat untuk berniaga, apatah lagi beliau tidak suka bergantung kepada empat orang anaknya.

“Makcik tak suka bergantung kepada anak-anak dan lebih suka berdikari. Itu prinsip hidup saya. Saya pandu trak sendiri dan berniaga makanan sendiri bersama seorang pembantu.

“Lagipun masak adalah kegemaran saya dan saya masak dengan penuh kasih sayang bagi memastikan makanan saya sedap, bersih dan berkualiti, apatah nasi kerabu saya memang eksklusif.

“Rasa nasi kerabu pula lain dari yang lain kerana saya gunakan daun sitam yang diimport khas dari Thailand dan bunga telang untuk mengekalkan warga asli nasi kerabu,” katanya.

Che Nah sempat menitipkan pesanan kepada anak-anak muda yang mahu menceburi bidang perniagaan agar sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pekerjaan.

“Hendak berjaya kita mesti tunjukkan sikap yang positif.

Walaupun ujian datang menimpa, anggap ia sebagai proses pembelajaran kerana yang pasti kita berusaha untuk berjaya,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas