Berita

Kerajaan pantau peruntukan Belanjawan 2021 untuk Sabah, Sarawak – Dr Maximus

- Diterbit 30 November 2020 9:41 AM MYT

KERAJAAN akan memantau penggunaan peruntukan RM5.1 bilion bagi Sabah dan RM4.5 bilion untuk Sarawak dalam Belanjawan 2021, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata pemantauan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) melalui Pejabat Setiausaha Persekutuan di kedua-dua negeri itu.

“Kami ingin melibatkan diri (dalam) dana yang diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak agar ia benar-benar digunakan bagi menyelesaikan perkara-perkara ditujukan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi portfolionya.

Terdahulu ketika sesi perbahasan, Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mempersoalkan peruntukan untuk kedua-dua negeri dalam Belanjawan 2021 itu yang disifatkannya sebagai ketidakadilan yang begitu ketara dari segi peruntukan pembangunan.

Dalam pada itu, Maximus berkata pewujudan bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri buat pertama kali dikhususkan untuk meneliti hal dan hak kedua-dua negeri itu serta perkara-perkara yang difikirkan rakyat dan kerajaan negeri.

“Saya rasa ini pertama kali perkara mengenai Sabah dan Sarawak diletakkan bawah sebuah jabatan rasmi seperti sebuah kementerian. Kami yakin bahawa perdana menteri benar-benar mahu melakukan sesuatu (terbaik) untuk Sabah dan Sarawak dan kami percaya apa sahaja perancangan yang kerajaan lakukan, ia memerlukan sokongan semua ahli Parlimen,” katanya.

Sebelum ini kerajaan menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditubuhkan bagi memelihara hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas