Berita

Pendengaran permohonan terima masuk peguam bela secara penstriman langsung – PKPMP

- Diterbit 30 November 2020 9:38 AM MYT

BADAN Kehakiman akan mengadakan sidang video pendengaran permohonan untuk menerima masuk dan mendaftarkan pempetisyen sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya secara penstriman langsung, menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP).

Dalam satu kenyataan, PKPMP menyatakan bahawa pendengaran permohonan berkenaan secara penstriman langsung akan diadakan dari 2 Disember hingga 4 Disember ini.

Penstriman langsung sidang video itu akan disiarkan melalui tiga saluran iaitu di portal rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia di www.kehakiman.gov.my, akaun media sosial rasmi YouTube dan Facebook Badan Kehakiman Malaysia: The Malaysian Judiciary.

“Projek perintis ini akan dimulakan di Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 1 dan Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 2, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta Bahagian Kuasa-Kuasa Khas di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata PKPMP.

Pendengaran petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan diadakan sebanyak tiga sesi yang melibatkan tujuh pendengaran petisyen pada setiap sesi.

Sesi dari 2 hingga 3 Disember adalah pada pukul 9.00 pagi, 11.00 pagi dan 2.00 petang dan sesi pada 4 Disember 2020 adalah pada pukul 9.00 pagi, 11.00 pagi dan 3.00 petang.

Pendengaran petisyen di Mahkamah Tinggi Shah Alam pula akan diadakan pada 2 Disember pada pukul 9.00 pagi dan melibatkan empat pendengaran petisyen.

Menurut PKPMP, Badan Kehakiman sentiasa bergerak secara seiring dengan perkembangan teknologi dalam memastikan kesinambungan akses kepada keadilan bukan sahaja kepada pemegang kepentingan dan orang awam malahan kepada semua lapisan masyarakat.

“Ini adalah termasuk individu yang telah memfailkan permohonan untuk diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara terutamanya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” kata PKPMP. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas