Berita

AINA ABDUL Harap Nasib Anak Seni Terbela

- Diterbit 30 November 2020 10:15 PM MYT

DI kala ramai peniaga dibenarkan kembali aktif untuk menjana pendapatan, begitulah juga yang diinginkan oleh para penggiat seni.

Baru-baru ini kecoh apabila ada sesetengah pihak yang menganggap acara hiburan adalah aktiviti berisiko dalam penularan COVID-19.

Seperti yang kita tahu ekosistem industri hiburan bukan sahaja membabitkan artis dan penganjur acara tetapi juga kru belakang tabir seperti jurukamera, pemuzik, pereka fesyen, jurumekap, penaja dan banyak lagi.

Penyanyi popular Aina Abdul,27, berharap pihak berkuasa turut melihat kepentingan acara hiburan kepada penggiat seni.

“Bagi saya, rasanya tidak perlu batalkan atau tunda acara hiburan kerana itu adalah pendapatan kami.

“Acara tersebut perlu diteruskan tetapi Prosedur Operasi Standard (SOP) mesti diperketatkan seperti mengehadkan jumlah orang yang terlibat atau ada sistem giliran.

“Ini kerana, sesuatu acara itu bukan sahaja melibatkan artis tetapi juga banyak piihak lain yang bergantung kepada acara tersebut untuk menjana pendapatan demi menyara keluarga,” katanya kepada Wilayahku.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berharap, kerjaya anak seni yang baru bermula selepas berehat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dapat dipertimbangkan.

“Saya harap kerajaan atau pihak berkuasa mempertimbangkan nasib kami dalam bidang seni seperti membenarkan acara hiburan selagi mana SOP dipatuhi.

“Kalau ditanya, saya berpendapat memperketatkan lagi SOP dalam majlis hiburan adalah jalan terbaik untuk semua pihak.

“Jadi, dalam menjaga keselamatan dan kesihatan, kami tetap boleh menjana pendapatan di kala situasi yang agak mencabar ini. Kami juga seperti yang lain mempunyai komitmen yang perlu dilunaskan.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana sudi mendengar rintihan anak-anak seni,” katanya yang popular dengan lagu Sumpah dan Semalam.

Semoga para penggiat seni dapat bangkit semula selepas terkesan akibat krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas