Berita

Kerajaan laksana pelarasan gred Pegawai Perubatan kontrak UD41 ke UD43

- Diterbit 16 November 2020 8:12 AM MYT

KERAJAAN setuju melaksanakan pelarasan gred kepada Pegawai Perubatan kontrak Gred UD41 kepada Gred UD43, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Keputusan yang dipersetujui kerajaan pada 13 Nov lalu itu bagi menghargai perkhidmatan yang diberikan pegawai tersebut dan membolehkan mereka menerima emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap.

Katanya, pelarasan gred itu juga turut dipanjangkan kepada Pegawai Pergigian kontrak.

Tambahnya keputusan itu juga bersesuaian dengan pendekatan ‘Malaysia Prihatin’ yang diamalkan Kerajaan pada masa ini dan selaras dengan prinsip upah mengikut kerja.

“Ini kerana Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian lantikan kontrak turut memikul beban tugas yang setara dengan pegawai lantikan tetap, yang dinaikkan pangkat ke Gred 44 selepas memenuhi syarat kenaikan pangkat dan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya dua tahun.

“Pelarasan gred ini juga selaras dengan perbekalan skim perkhidmatan yang membenarkan Pegawai Perubatan dilantik secara kontrak atas Gred UD43, yang mana gred tersebut adalah setara dengan gred kenaikan pangkat UD44,” katanya.

Dr Adham berkata keputusan itu juga berupaya memberi impak positif ke arah memperkukuhkan keharmonian organisasi dan meningkatkan lagi motivasi pegawai dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas