Berita

Ali Jais ditemukan sihat di bawah jagaan warga emas di Singapura

- Diterbit 16 November 2020 8:07 AM MYT

“KAMI dah jumpa abah.”

Pencarian tiga anak kandung Ali Jais, warga Malaysia yang kali terakhir diketahui berada di republik ini kira-kira 20 tahun lepas, berakhir kurang 24 jam selepas berita berkaitan bapa mereka dilaporkan Bernama.

Ali, 84, dan anak-anaknya terpisah sejak 20 tahun yang lalu dan menurut anak sulungnya, Hasliza, bapanya berada di sebuah rumah jagaan warga emas di sini.

“Alhamdulillah abah sihat. Saya dimaklumkan abah ingat semua nama anak-anak. Apabila ditanya nama-nama anak semuanya betul,” kata Hasliza  yang menghubungi Bernama untuk menyampaikan berita gembira itu.

Dalam laporan terdahulu, anak-anaknya yakin Ali masih berada di Singapura berdasarkan semakan di Jabatan Imigresen Malaysia beberapa tahun lepas.

Mengulas lanjut, Hasliza, 41 berkata mereka dimaklumkan tentang keberadaan bapanya oleh seorang individu yang menghubungi adiknya, Khazimah melalui aplikasi WhatsApp tengah hari tadi.

Katanya dia kemudian menghubungi rumah jagaan itu yang mengesahkan identiti bapanya menerusi salinan kad pengenalan yang ada dalam simpanannya.

“Menurut pusat jagaan, abah ingat pada anak-anak cuma tidak tahu bagaimana untuk menghubungi kami,” katanya dalam tangis gembira.

Rayuan pencarian Ali dibuat oleh anak bongsunya Khazimah, 37, dan turut dikongsi di laman Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers yang kini mempunyai kira-kira 72,000 ahli.

Satu-satunya gambar bapanya yang ada dalam simpanan turut disertakan dalam perkongsian itu.

“Seorang hamba Allah telah memaklumkan kepada saya awal tengah hari tadi menerusi WhatsApp tentang keberadaan abah. Saya maklumkan kepada kakak sulung yang segera menghubungi pusat jagaan tersebut,” kata Khazimah.

Anak bongsu Ali itu amat berharap dapat menyambut Aidilfitri bersama bapanya buat kali pertama dalam hidupnya pada tahun depan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas