Berita

Kenderaan Black Maria bantu operasi penguatkuasaan JAWI

DATUK Mohd Ajib Ismail (empat kanan) memegang kunci simbolik kenderaan Black Maria di Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur, hari ini.
- Diterbit 17 Ogos 2022 9:05 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini menerima sebuah kenderaan Black Maria bagi membantu operasi penguatkuasaan undang-undang syariah secara efisien.

Menurut JAWI, kenderaan tersebut akan digunakan untuk memperkasakan fungsi penguatkuasaan undang-undang syariah di kawasan Wilayah Persekutuan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Bagi melaksanakan operasi penguatkuasaan secara efisien, pasukan Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) JAWI menggunakan kenderaan Black Maria ketika menjalankan operasi bersepadu bersama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta membawa Orang Yang Disyaki (OYDS) yang ditahan untuk proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu, JAWI melalui bahagian penguatkuasaan beriltizam untuk terus menguatkuasakan undang-undang syariah serta melaksanakan tindakan pencegahan bagi menegakkan amar makruf dan nahi mungkar dalam kalangan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.

Simbolik penyerahan kenderaan tersebut disempurnakan oleh Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail di Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas