Berita

Sewa premis kepada PATI, RM100 satu kepala

JALALUDDIN (tengah) memeriksa sekumpulan warga asing yang menginap di dalam sebuah bilik di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.
- Diterbit 17 Ogos 2022 3:50 AM MYT

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberi amaran keras terhadap pemilik premis perniagaan yang menyewakan premis kepada pihak ketiga khususnya Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Jelasnya, tindakan itu bakal dikenakan terhadap pemilik premis perniagaan yang dikesan memberi sewaan premis kepada warga asing sehingga wujud budaya monopoli perniagaan di sekitar pasar borong.

“Kita mendapati kebanyakan pemilik premis perniagaan berlesen telah menyewakan premis kepada pihak ketiga termasuklah PATI.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati ada satu premis itu diubah suai untuk menempatkan lima bilik yang disewa puluhan warga asing yang dikenakan bayaran RM100 bagi setiap ‘kepala’ (individu) sebulan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan juga, kami menyita tiga premis serta barang jualan yang didapati dikendalikan oleh warga asing,” katanya pada sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.

Jalaluddin berkata pihaknya akan terus menjalankan operasi bersepadu dan pemeriksaan dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain bagi memastikan premis-premis di sekitar ibu kota mematuhi syarat lesen perniagaan.

“Ini termasuk mengambil tindakan membatalkan lesen mereka serta merta termasuk menyita barang jualan,” katanya.

Katanya, operasi itu diadakan untuk membanteras penyalahgunaan dadah serta penyewaan premis perniagaan kepada warga asing yang diubahsuai sebagai tempat tinggal.

“Kita akan meningkatkan operasi di seluruh ibu kota bagi mengesan individu yang melanggar undang-undang sekali gus mengekang aktiviti haram secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, lapan warga Myanmar yang baru tiba ke negara ini awal pagi tadi ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Deputi Komisioner (DCP) Datuk Yahaya Othman berkata turut ditahan dalam operasi berkenaan seorang lelaki tempatan yang dipercayai tekong yang membawa semua warga Myanmar berkenaan.

“Kesemua lelaki yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun, mereka ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Hadir sama dan Ketua Polis Daerah Sentul, Asistan Komisioner Polis (ACP) Beh Eng Lai.

Beliau berkata pihaknya turut menahan kira-kira 18 warga asing kerana positif dadah operasi berkenaan.

“Seramai 400 warga asing diperiksa dalam operasi berkala hari ini yang turut disertai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas