Berita

300 kakitangan sertai Program KWP Sihat Dan Hebat

SHAHIDAN (tengah) ketika melakukan gimik pelancaran Program KWP Sihat Dan Hebat di Dewan Serbaguna KWP, hari ini.
- Diterbit 18 Ogos 2022 5:46 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) menganjurkan Program KWP Sihat Dan Hebat yang bertujuan menjadikan warga Wilayah Persekutuan untuk kekal sihat dan cerdas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata program yang julung kali dianjurkan ini disertai lebih 300 warga KWP dan ini bertujuan untuk membudayakan kehidupan sihat dan aktif serta kelestarian persekitaran dalam kalangan warga kerja.

“Inisiatif ini merupakan salah satu daripada Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang sihat sejahtera.

“Perubahan gaya hidup rakyat yang semakin moden, faktor urbanisasi dan globalisasi menjadikan isu kesihatan rakyat khususnya dalam kalangan penduduk bandar semakin mecabar.

“Ini termasuklah masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit berjangkit, penyakit kronik, pandemik dan kesihatan mental dalam kalangan rakyat. Maka, amalan gaya hidup sihat adalah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh semua,” katanya dalam Program KWP Sihat dan Hebat hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan, Datuk Ruzain Idris dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Sosioekonomi, Datuk Parang Abai @ Thomas.

Shahidan berkata pihaknya akan terus komited dalam menyediakan persekitaran serta fasiliti kepada warga Wilayah Persekutuan untuk membolehkan penjagaan kesihatan diutamakan dalam melahirkan sebuah Keluarga Malaysia yang sihat dan hebat.

“Program KWP Sihat dan Hebat ini bukan sahaja dipraktikkan dalam kalangan warga kerja malah ia turut diperluaskan kepada komuniti di Wilayah Persekutuan melalui Program MyMedic@Wilayah yang memberikan perkhidmatan rawatan asas percuma kepada penduduk di PPR dan PA DBKL sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

Sehingga 7 Ogos lalu, seramai 12,967 orang daripada 15 PPR dan PA DBKL telah menerima manfaat daripada Program MyMedic@Wilayah.

Dalam pada itu, Shahidan berkata pelbagai program telah dirancang oleh pihaknya sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan kali ke-65 dan akan memastikan setiap kawasan parlimen mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan mereka.

“Terdapat banyak program yang telah dirancang sepanjang bulan Ogos ini. Tetapi yang penting ketika ini adalah saya hendak memastikan bendera-bendera besar perlu diletakkan di parlimen dan juga kompleks beli-belah. Ini merupakan salah satu projek jangka panjang yang akan kita buat.

“Saya tengok di kebanyakan negara seperti di Amerika Syarikat, Turkiye ataupun di negara Eropah, syarikat-syarikat telah pun meletakkan bendera besar. Kita di Malaysia perlu mengamalkan seperti mereka.

Tambahnya, beliau pernah mengusulkan perkara itu di dalam persidangan parlimen pada tahun 1986 supaya rakyat mengibarkan bendera pada setiap masa sebagai tanda kedaulatan, cinta kepada negara dan bukan hanya dikibarkan sewaktu menyambut ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas