Berita

Kempen #GoJalanLah galak pelancongan domestik

NANCY (tengah) bersama tetamu kehormat meninjau bahagian dalam pesawat Firefly.
- Diterbit 12 Jun 2022 8:00 AM MYT

BAGI merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan, Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama pintar bersama syarikat penerbangan Firefly dalam usaha meningkatkan promosi pelancongan domestik.

Kerjasama tersebut melibatkan pelancaran pengiklanan badan pesawat (livery) serta kempen #GoJalanLah yang berlangsung baru-baru ini di Sky Park Rac Industrial Park Bukit Jelutong, Shah Alam.

Disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, pengiklanan dan kempen melalui kerjasama tersebut bermula pada 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2023.

“Saya amat mengalu-alukan usaha Firefly dalam melebarkan sayap penerbangannya dari Pulau Pinang ke Sabah dan Sarawak. Langkah ini diharap dapat menggalakkan lebih banyak penerbangan dua hala yang menghubungkan pergerakan rakyat antara Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia khususnya dari Wilayah Utara.

“Malahan di bawah kempen #GoJalanLah, pihak Firefly turut menawarkan pelbagai pakej percutian dan tiket penerbangan menarik,” ujar Nancy.

Menerusi kempen tersebut, bahagian depan badan pesawat akan dihiasi dengan logo Cuti-Cuti Malaysia bagi menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara.

“Dalam pesawat turut dipaparkan visual kreatif produk-produk pelancongan menarik berserta logo sambutan ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia.

“Selain itu, promosi kempen #GoJalanLah menawarkan pembelian tiket penerbangan berserta hotel penginapan pada harga diskaun sehingga 35 peratus,” ujar beliau pada perasmian tersebut.

Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas