Berita

Kemenangan filem ‘Geran’ di NYAFF bukti perfileman negara mampu bersaing

- Diterbit 18 Ogos 2020 8:23 AM MYT

KEMENANGAN filem tempatan ‘Geran’ yang merangkul anugerah ‘Daniel A. Craft Award for Excellence in Action Cinema’ di Festival Filem Asia New York (NYAFF) ke-19 di Amerika Syarikat membuktikan industri perfileman negara mampu bersaing dan setaraf dengan filem terbaik Asia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pencapaian filem aksi terbitan Layar Pictures Sdn Bhd itu amat membanggakan dan mencerminkan keupayaan serta aspirasi industri perfileman negara ke arah ‘Road to Oscars’.

“Ia juga seiring dengan rangka kerja dan hala tuju Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam memastikan sasaran ini menjadi satu realiti dalam tempoh jangka masa yang panjang. Usaha ini perlu diteruskan dalam memartabatkan industri perfileman di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pengarah filem itu Areel Abu Bakar dan seluruh kru produksi yang terlibat di depan lensa kamera dan di belakang tabir sehingga berjaya meraih anugerah berprestij itu.

NYAFF yang bersiaran dalam talian melalui aplikasi Smart Cinema dari 28 Ogos hingga 12 Sept ini adalah festival filem berprestij di Amerika Syarikat yang mengangkat pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas