Berita

Kembalikan dana asal bumiputera

Gambar hiasan
- Diterbit 23 Januari 2020 5:32 AM MYT

KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan tabung dana pusingan perumahan bumiputera dapat membantu golongan muda membeli rumah pertama mereka.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Ahmad Hariza Hashim, inisiatif tersebut merupakan pertama kali diwujudkan di negara ini untuk golongan B40 dan M40 dalam kalangan bumiputera.

Jelas beliau, langkah tersebut tidak sewajarnya dianggap rasis kerana dana tersebut pada asalnya adalah wang denda pemaju yang menjual unit rumah kouta bumiputera tanpa kebenaran.

“Kaedah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera dalam kawasan bandar raya,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Ahmad Hariza berkata, keunikan tabung dana tersebut adalah ia tidak menggunakan sumber kewangan DBKL sebaliknya hasil denda terhadap pemaju perumahan.

Tambahnya, memandangkan harga hartanah di ibu kota terlalu mahal, tabung tersebut boleh membantu golongan muda membayar wang deposit untuk membeli rumah.

Pada 16 Januari lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad mengumumkan penubuhan tabung pusingan bernilai RM3.9 juta untuk membantu bumiputera B40 dan M40 membayar deposit pembelian rumah mampu milik yang pertama.

Dana itu merupakan hasil kutipan denda ke atas pemaju yang menjual lot bumiputera tanpa kebenaran DBKL. Ia merupakan sumbangan lima peratus daripada harga unit yang diberikan pelepasan untuk dijual kepada bukan bumiputera dan ia dijangka dapat membantu 130 pembeli rumah pertama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas