Berita

Lebih 200 hadiri temuduga terbuka DBKL

SEORANG pegawai memberikan taklimat kepada calon-calon sebelum menjalani proses temuduga.
- Diterbit 23 Januari 2020 5:34 AM MYT

KUALA LUMPUR – Lebih 200 orang menghadiri temu­duga terbuka yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berlangsung di Institut Latihan DBKL (IDB), Cheras dari 21 hingga 22 Januari lalu.

ASYQOH

Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia DBKL, Asyqoh Yusof berkata, keseluruhan calon yang hadir di­saring terlebih dahulu dan jawatan yang ditawarkan adalah berstatus Pekerja Sambilan Harian (PSH).

“Kesemua dokumen yang dikemukakan perlu men­dapat cop pengesahan selain semakan sebelum me­reka perlu melalui peringkat kedua iaitu temuduga dengan pegawai-pegawai DBKL.

“Sekiranya berjaya, mereka akan dihubungi me­lalui emel ma­sing-masing dan dikehendaki me­lapor diri pada Februari ini,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Asyqoh menjelaskan, temu­duga yang dijalankan itu adalah secara terbuka dan dijalankan selama tiga hari untuk beberapa jawatan.

“Bagi kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dijalankan pada 21 Januari, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 22 Januari dan diploma pada 23 Januari,’’ kata­nya.

Bagi calon ber­kelulusan ijazah sarjana muda pula, permohonan boleh dilakukan melalui portal DBKL di https://apps.dbkl.gov.my/epengambilan/.

Tambah Asyqoh, kebanyakan calon yang hadir untuk sesi temuduga adalah warga Kuala Lumpur.
“Kita lihat calon-calon tersebut berpotensi dan dapat melihat kesungguhan mereka untuk mendapatkan pekerjaaan,” katanya.

Kata Asyqoh, jawatan PSH adalah untuk tempoh tiga bulan dan ia bergantung kepada pencapaian masing-masing.

“Ia juga bergantung kepada bidang tugas dan sekira­nya sesuatu jawatan itu perlu disambung, maka pe­kerja tersebut akan dilanjutkan perkhidmatan,’’ kata­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas