Berita

Kehadiran Wan Rohaimi lonjak prestasi PDRM FC

KEHADIRAN Wan Rohaimi Wan Ismail dalam pasukan PDRM FC berjaya melahirkan pasukan bertenaga sejak dilantik menjadi Ketua Jurulatih pasukan itu pada 31 Mac lepas. Kredit Foto oleh - hmetro
- Diterbit 4 Jun 2021 12:57 PM MYT

KEHADIRAN Wan Rohaimi Wan Ismail selaku ketua jurulatih baharu PDRM FC berjaya membantu pasukan berkenaan bangkit mempersembahkan aksi bertenaga berbanding prestasi di awal musim Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Sejak dilantik pada 31 Mac lepas, Wan Rohaimi berjaya membuktikan sentuhannya apabila PDRM FC, yang sebelum ini menjadi dua pasukan tercorot liga berjaya mendaki ke kedudukan kelapan dengan 11 mata selepas mengharungi 11 perlawanan.

Lebih menarik,  pasukannya mencuri perhatian ramai dengan mengejutkan pendahulu liga, Sarawak United 2-0 pada aksi kesembilan Liga Premier.

Jurulatih berusia 45 tahun itu bersyukur pengalaman pertamanya sebagai pengendali pasukan dalam kancah Liga-M menunjukkan beliau berpotensi untuk menjadi antara pelapis jurulatih tempatan.

Bagaimanapun, beliau enggan terbuai dengan prestasi semasanya kerana merasakan masih banyak perkara perlu diperbaiki pasukannya sekiranya mahu melangkah lebih jauh selepas ini.

“Bola sepak Malaysia ini semuanya berkaitan dengan pengalaman dan itu sentiasa menjadi perhatian utama mana-mana pengurusan pasukan dalam mendapatkan khidmat jurulatih tempatan.

“Jadi apabila mendapat peluang sebegini, saya akan cuba sebaik mungkin untuk buktikan kemampuan dan syukur kerana segala perkembangan di sini tampak amat baik sejak hari pertama datang ke sini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sementara itu, Wan Rohaimi menyatakan keyakinan pasukannya mampu mendapatkan slot ke Piala Malaysia selain memberikan tekanan kepada kelompok pasukan teratas liga.

“Kami mendapat khidmat beberapa pemain tempatan baharu bagi perkuatkan cabaran pasukan dengan dua dari Penang FC, Nurfais Johari dan Azrie Reza selain Saiful Hasnol yang pernah beraksi dengan UKM sebelum ini.

“Sementara untuk pemain import, kami melepaskan pemain pertahanan, Victor Kamhuka dan sudah mendapatkan seorang pemain di barisan hadapan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi,” katanya.

Wan Rohaimi merupakan bekas pemain kebangsaan dari 1999 hingga 2006, dan dikenali sebagai pemain serba boleh apabila menunjukkan aksi membanggakan selaku penyerang, pemain tengah dan pertahanan beberapa pasukan Liga-M. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas