Berita

PL agih bantuan kepada atlet jurulatih

JURULATIH Lawn Bowl menerima kit makanan yang disumbangkan oleh PL, baru-baru ini. JURULATIH Lawn Bowl menerima kit makanan yang disumbangkan oleh PL, baru-baru ini.
- Diterbit 4 Jun 2021 1:05 PM MYT

PRIHATIN terhadap nasib ­atlet dan jurulatih sukan di pulau itu yang kini berdepan kesulitan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perbadanan Labuan (PL) menyumbangkan sebanyak 60 bakul makanan kepada golongan itu secara berperingkat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Fary Akmal Osman, bagi fasa pertama pihaknya telah menyerahkan bantuan makanan itu kepada 17 orang dan agihan itu dibuat secara pandu lalu.

Katanya, proses agihan bantuan itu akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ­bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) PKPD dipatuhi.

“Kita (PL) berharap ­sumbangan itu dapat membantu dan serba sedikit meringankan beban para atlet dan jurulatih tempatan dalam mengharungi waktu sukar ini ­susulan pelaksanaan PKPD,” ­katanya ketika dihubungi Wilayahku, ­baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai ­kerja-kerja sanitasi di Pasar Sentral, Fary berkata ­pihaknya ­bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melakukan kerja-kerja pembasmian kuman di bangunan itu bagi memastikan kawasan itu sentiasa bersih dan mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.

Katanya, kerja-kerja ­sanitasi itu membabitkan premis-premis ­kerajaan di aras atas dan aras bawah meliputi bahagian pasar basah.

“Sebanyak 430 operasi sanitasi telah dilaksanakan oleh PL sepanjang tempoh PKP diumumkan sehingga kini yang telah ­menelan belanja sejumlah RM 73,000,” katanya.

Jelas beliau lagi, kerja-kerja ­sanitasi di premis-premis kerajaan dan tempat awam akan dipergiatkan dari semasa ke semasa.

“Ianya bagi memastikan keselamatan orang awam dapat dipelihara daripada jangkitan COVID-19,” tambahnya. – WILAYAHKU- 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas