Atlet Wilayah

Raja Izati lincah dalam gelanggang

RAJA IZATI (kanan) tak gentar hadapi lawan. RAJA IZATI (kanan) tak gentar hadapi lawan.
- Diterbit 4 Jun 2021 12:42 PM MYT

EMPAT kali berturut-turut meraih pingat emas dalam Kejohanan Muay Thai Kebangsaan 2019, 2018, 2017 dan 2016 (bawah 17 tahun), kini Raja Izati Nabiha Raja Anuar, 17, merupakan antara pelapis peninju muda yang semakin menyinar.

Sungguhpun remaja, peninju di bawah kategori 17 tahun dengan berat 42 hingga 45 kilogram ini meletakkan harapan tinggi untuk bergelar peninju kebangsaan dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Berkongsi kisahnya kepada Wilayahku, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini berkata, dia mula aktif di gelanggang tinju sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Ketika kecil ayah sering membawa saya melihat bapa saudara yang merupakan bekas atlet Muay Thai kebangsaan, Tengku Shahrizal Tengku Abdul Rahman berlatih di Stadium Titiwangsa. Bermula dari situlah minat saya semakin bercambah dalam sukan ini.

“Ayah juga tidak jemu melatih saya sehingga berjaya bergelar atlet Wilayah Persekutuan seperti hari ini. Mujurlah ayah merupakan salah seorang jurulatih Muay Thai Wilayah Persekutuan, jadi secara tidak langsung dia merupakan jurulatih peribadi saya,” ujarnya.

Kata Raja Izati, dia beruntung bermain sukan ini kerana dapat mempertahankan diri seandainya berdepan dengan perkara yang tidak diingini.

“Muay Thai ­merupakan antara seni ­mempertahankan diri yang perlu dipelajari. Saya kira ­wanita di luar sana juga perlu memiliki pengetahuan serba ­sedikit ilmu ini andai diserang atau sebagainya,” ujarnya yang turut mengakui muay thai mendidiknya menjadi lebih berdisiplin.

Tambah ahli kelab Rajawali Muay thai ini lagi, biarpun kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun dia tetap ­berlatih seperti biasa di rumah bagi ­meningkatkan stamina dan menguasai teknik.

“Berbanding sukan lain, muay thai boleh berlatih di rumah dengan menggunakan beg tinju dan sebagainya. Kebiasaannya saya akan berlatih dengan adik-beradik di bawah pemantauan ayah,” ­ujarnya yang gembira kerana ­sering membawa pulang kemenangan demi penat lelah ayahnya.

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar jurusan Perniagaan, Ekonomi dan Tasawwur Islam ini bijak membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

“Sehebat mana pun kita dalam sukan namun pelajaran juga amat penting. Sebagai calon SPM, saya tidak ketinggalan mengikuti kelas tuisyen dalam talian dan juga sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Agak sukar sebenarnya untuk memberi perhatian ketika PdPR berbanding belajar secara bersemuka lebih-lebih lagi dalam format peperiksaan SPM yang baru namun tiada pilihan memandangkan situasi pandemik COVID-19 sekarang,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest, Taman Sri Gombak ini. – WILAYAHKU- 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas