Rencana

Karnival MAIWP 2024 : 50 tahun memacu kegemilangan

PERDANA menteri Datuk seri anwar ibrahim menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima
- Diterbit 26 Februari 2024 3:31 PM MYT

TANGGAL 1 Februari 2024 merupakan tarikh bermakna buat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meraikan keutuhan dan kegemilangannya selama 50 tahun sebagai sebuah badan berkanun di Malaysia yang bertanggungjawab dalam menggerakkan usaha kebajikan bagi membantu golongan memerlukan khususnya di Wilayah Persekutuan.

MAIWP merupakan agensi kerajaan yang menggerak dan menguruskan kutipan dan agihan zakat dalam kalangan masyarakat Islam Wilayah Persekutuan malah agensi ini juga turut bertanggungjawab sebagai pihak yang melaksanakan pembangunan modal insan serta pembangunan harta-harta MAIWP.

Keutuhannya selama 50 tahun ini juga menunjukkan bukti bahawa masyarakat bertambah yakin dan percaya dengan tugas serta tanggungjawab yang dilaksanakan.

Buktinya, pada tahun 2023, MAIWP berjaya mengutip zakat melepasi RM1 bilion iaitu sebanyak RM1.03 bilion (RM1,035,833.412.22) malah pada tahun yang sama juga, MAIWP juga berjaya mengagihkan sebanyak RM952.27 juta (RM952,272,327) atau 93 peratus daripada kutipan zakat tahun semasa.

Perkara itu dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, baru-baru ini.

Dalam merekodkan kecemerlangan berterusan, beliau juga berkata MAIWP telah menjalankan beberapa program khusus kepada golongan asnaf antaranya Program Bantuan Pembekalan Barangan Keperluan Asasi atau dikenali sebagai MAIWP Kasih Asnaf Zero Hunger di mana ia memanfaatkan seramai 30,200 penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM108.7 juta (RM108,702,00).

“Selain itu, bermula Januari sehingga Disember tahun ini, MAIWP juga akan membantu seramai 60,000 mahasiswa di beberapa universiti sekitar Kuala Lumpur dengan perbelanjaan sebanyak RM3 juta sebulan menerusi Program Gerobok Rezeki Komuniti ‘U’ MAIWP dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

“Antara universiti yang terlibat adalah Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Universiti Kebangsaan Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL),” jelas beliau.

Sejajar dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan jurang kemiskinan, MAIWP juga telah menggerakkan beberapa usaha dalam menyantuni golongan yang memerlukan menerusi Program Bantuan Pakaian dan Peralatan Sekolah, Agihan Zakat Tanpa Tunai (cashless) kepada golongan asnaf pada setiap bulan menerusi e-wallet serta Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Secara amnya, beliau juga turut menyatakan bahawa MAIWP sentiasa berusaha dengan penuh tekad untuk merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Natijahnya, sebagai sebuah agensi kerajaan, MAIWP akan terus bertekad untuk membela dan menyantuni para asnaf sekali gus gigih menganjurkan aktiviti dan program pengupayaan asnaf demi memenuhi keperluan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Terdahulu, sempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan MAIWP, Karnival MAIWP 2024 telah diadakan selama satu hari pada 18 Februari bertempat di Taman Tasik Titiwangsa dengan membawa tema 50 Tahun Memacu Kegemilangan.

Pada karnival tersebut, sebanyak 100 reruai disediakan dengan menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf, perkhidmatan dan institusi pendidikan serta kesihatan di bawah MAIWP, Fun Run Karnival MAIWP, Jualan Rahmah Madani dan pelbagai lagi.

Malah, pada malam kemuncak karnival ini, MAIWP turut mengadakan Malam Kesenian Islam dengan menampilkan persembahan selebriti jemputan iaitu Kumpulan Raihan, INTEAM, Ezad Lazim serta selawat Nuril Mubim sebagai penutup karnival.

PACU KEJAYAAN

KEUTUHAN MAIWP selama 50 tahun adalah sebahagian daripada bukti sokongan dan bantuan yang diberikan oleh seluruh kakitangan yang turut menabur bakti berkhidmat dalam memacu kegemilangan.

Berkongsi perasaan bangga dengan kejayaan tersebut, Ketua Unit Strata Bahagian Pembangunan Modal Insan MAIWP, Umie Zaitun Junoh meluahkan rasa gembira apabila berpeluang menjadi sebahagian daripada keluarga MAIWP selama hampir 14 tahun.

“Perjalanan karier saya di MAIWP bermula pada tahun 2009, pada ketika itu saya ditempatkan di bahagian baitulmal, kemudian ditukarkan ke bahagian pembangunan modal insan sebagai Ketua Unit Strata.

“Sejujurnya, saya sangat seronok apabila bersama dengan MAIWP kerana dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada ummah atau manusia malah memudahkan perjalanan kehidupan ke arah yang lebih bermakna.

“50 Tahun MAIWP berkembang memacu kegemilangan ummah, pelbagai usaha digerakkan untuk membantu warga Wilayah Persekutuan. Apabila saya berada di MAIWP dan melihat sendiri usaha hari demi hari sehingga berjaya mencapai kejayaan, saya sangat berbangga,” katanya yang mendoakan MAIWP akan sentiasa cemerlang dan gemilang menuju apa jua yang telah dirancangkan.

Sementara itu, Tenaga Pengajar Seni Reka Grafik di Institut Kemahiran Baitulmal Kuala Lumpur, Rozila Omar berkata organisasi itu sentiasa menjaga kebajikan pekerja sekali gus menerbitkan rasa cintanya terhadap MAIWP sehingga mendorong dirinya untuk terus berkhidmat dengan MAIWP hampir 31 tahun.

“Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun ke-31 saya berkhidmat di Institut Kemahiran Baitulmal ini dan bersama MAIWP.

Bekerja dengan MAIWP adalah pengalaman yang bermakna bukan sahaja kerana suasana persekitarannya malah MAIWP sentiasa menjaga kebajikan pekerja tidak kira dalam aspek kebajikan, kesihatan dan lain-lain.

“Sebagai seorang pekerja, sudah tentu saya berasa bangga melihat kejayaan MAIWP yang kini telah menuju kecermelangan. Seiring dengan kejayaan ini, Insya-Allah, saya juga sebagai seorang tenaga pengajar akan terus memberikan khidmat terbaik dalam membantu pelajar-pelajar mencapai kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya.

Berkongsi perasaan yang sama, Setiausaha Pengurus Besar Operasi Luar PPZ MAIWP, Siti Farah Rasyidah Ibrahim berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik terutama dalam membantu PPZ MAIWP mencapai sasarannya.

“Alhamdulillah, di peringkat PPZ MAIWP kami mencapai rekod yang cukup memberangsangkan pada tahun lalu di mana lebih 1 bilion kutipan zakat dapat diperoleh. Insya-Allah tahun ini kita juga ingin mencapai sasaran dan kami berharap ia dapat dilaksanakan supaya PPZ MAIWP dan MAIWP dapat terus mencapai kecemerlangan di masa hadapan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas