Rencana

Harakah, Black Friday dan Takiyuddin Hassan

- Diterbit 1 Mac 2024 4:29 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

37 tahun lalu, menjelang 28 Februari pada setiap tahun adalah hari-hari yang menggelisahkan bagi saya. Ini kerana, pada setiap tarikh tersebut, permit Harakah, tempat saya bekerja akan tamat.

Menunggu pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) memaklumkan kami boleh datang untuk membuat bayaran bagi menyambung permit Harakah adalah satu tempoh yang menggelisahkan.

Bila keluarga mahu meraikan hari lahir saya, yang kebetulan juga jatuh pada 28 Februari, saya sentiasa ragu-ragu, apakah ia boleh disambut dengan gembira atau sedih kehilangan pekerjaan kalau-kalau permit Harakah tidak disambung.

Fenomena ini terus berlangsung sehinggalah kerajaan memutuskan permit penerbitan (PP) akan disambung secara automatik pada setiap tahun sehinggalah pihak kerajaan ada masalah dengan media berkenaan ataupun permitnya ditarik balik.

Hari ini, 28 Februari 2024, ketika tulisan ini dibuat, saya tidak gusar lagi untuk menyambut hari lahir kerana saya tidak lagi di Harakah.

Saya mula meninggalkan Harakah pada 2013, kira-kira 10 tahun lepas untuk membolehkan saya menyertai media lain. Saya memberikan alasan untuk menimba pengalaman dengan media lain kerana sejak 1987 hingga 2013, saya hanya belajar dan bekerja dengan Harakah. Saya perlukan pengalaman di tempat lain untuk memperluaskan lagi ilmu pengurusan dan pengalaman media yang saya ada.

Padahal, alasan sebenar mengapa saya meninggalkan Harakah bukan kerana itu. Punca sebenar adalah saya sudah tidak berapa selesa bekerja dengan Harakah ketika pemiliknya sedang terumbang-ambing dengan perpecahan dalaman yang besar.

Ia bermula sejak 2004 lagi apabila PAS kalah teruk dalam PRU pada tahun berkenaan. Sebagai Ketua Pengarang Harakah, saya dipersalahkan. Tambahan lagi apabila kami menyiarkan tulisan Dr Farish Noor, selepas kekalahan itu, yang mengkritik golongan ulama dalam PAS yang disifatkan oleh beliau sebagai faktor utama kekalahan PAS pada tahun tersebut.

Farish mendakwa, golongan ulama dalam PAS gagal menjelaskan dengan baik isu Dokumen Negara Islam yang diperkenalkan oleh PAS sebelum itu sehingga menyebabkan PAS kalah teruk dalam PRU berkenaan.

Ekoran itu, saya telah diserang oleh golongan ulama dalam PAS dan menyebabkan saya diarahkan meninggalkan Harakah cetak dengan alasan untuk melaksanakan tugas baharu iaitu Harakah versi online yang dinamakan Harakahdaily.

Tidak sebagaimana yang diduga, Harakahdaily menjadi media yang lebih berpengaruh di dalam PAS, melebihi Harakah cetak sendiri. Ketika Harakah cetak terus merudum, Harakahdaily berjaya mencipta nama di persada media negara sehingga menjadi media kedua paling popular di Malaysia menjelang PRU 2013. Ia menyebabkan sekali lagi saya diserang oleh golongan ini.

Sejak itu, timbul pendebatan hangat di dalam PAS antara pendekatan golongan ulama dan profesional dalam parti itu sehinggalah bom itu meletup pada tahun 2015 yang memecahkan PAS, dua tahun selepas saya meninggalkan media parti tersebut.

Hampir kesemua pemimpin daripada golongan profesional dalam PAS disingkirkan pada Muktamar 2015 yang kemudiannya menghasilkan Parti Amanah Negara atau Amanah.

Kini, Harakah berhadapan dilema lagi. Seorang wartawannya berdepan dengan pertuduhan jenayah apabila cuba menyusup masuk secara haram ke dalam kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

Laporan polis telah dibuat oleh pegawai bertugas yang berjaya menangkap wartawan berkenaan ketika cuba menyusup masuk ke dalam premis yang terkawal itu. Saya dimaklumkan, wartawan Harakah berkenaan berdepan dengan dakwaan jenayah jika laporan polis ke atas beliau tidak ditarik balik.

Minggu lalu, Harakah telah membuat tajuk yang memeranjatkan. Ketika Sultan Selangor membantah tindakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang melabelkan hari keputusan kes Nik Elin lawan kerajaan negeri Kelantan diumumkan sebagai ‘Black friday’, Harakah dengan bangganya menjadikan ‘Black Friday’ sebagai tajuk muka depannya.

Ironinya, di muka belakangnya, Harakah memilih tajuk ‘PAS sokong inisiatif MKI’ sedangkan dalam masa yang sama menyiarkan tajuk Black Friday pada muka depannya, yang dibantah oleh Pengerusi MKI, Baginda Sultan Selangor.

Takiyuddin mempertahankan tindakan beliau menggunakan Black Friday itu dengan alasan ia kenyataan biasa apabila seseorang peguam kalah dalam sesuatu kes di mahkamah.

“Bila saya kalah kes, saya kata ‘ini Isnin yang hitam, atau Selasa yang hitam. Ia hari yang hitam untuk anak guam saya,” katanya dalam nada bergurau ketika sesi dialog antara pemimpin PAS dengan media berbahasa Cina di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Takiyuddin boleh bersilat lidah dengan kenyataannya sebagai seorang peguam yang pandai berhujah, tetapi bagaimana pula dengan Harakah?

Adakah Harakah juga mahu bersilat lidah atau terus kekal dengan tajuk muka depannya itu?

Sekadar pandangan…

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas