Artikel

Jaga-jaga jangan sampai terpijak ‘wayar’ lagi

SULTAN Selangor mempengerusikan Mesyuarat MKI
- Diterbit 26 Februari 2024 2:39 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

PERLEMBAGAAN dan Raja-raja Melayu adalah dua institusi penting di negara ini. Ia sepatutnya menjadi sandaran kesemua pihak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing di negara Malaysia yang tercinta ini.

Apabila menjadi Ahli Dewan Rakyat, semua wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan akan bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunggak utama negara ini.

Raja-Raja Melayu pula aadalah pihak yang bertanggungjawab menjaga kesucian Islam di negara ini ketika Islam adalah agama persekutuan.

Bagi melaksanakan tugas masing-masing, baginda Raja-Raja Melayu dan kerajaan telah menubuhkan Majlis Kebangsaan Islam (MKI) untuk menyelaras peranan mereka dalam menjaga agama Islam.

Oleh itu, apa-apa keputusan yang dibuat oleh MKI sewajarnya dihormati oleh semua pihak apatah lagi kesemua pemimpin negeri dan negara yang berkaitan terlibat dalam majlis yang dipimpin oleh Baginda Sultan Selangor ini.

Oleh itu, saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar agar semua pihak akur kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara adalah tepat sekali.

Katanya, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam sentiasa diberikan ruang sepenuhnya untuk mengkaji isu berkaitan kompetensi DUN dan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntuk di bawah Butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, semua cadangan jawatankuasa itu yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, akan dikemuka kepada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenan.

“Semua pihak diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam sementara menantikan cadangan daripada Jawatankuasa Khas ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin yang mempengerusikan MKI ke-71 bertitah mengenai kepentingan usaha mencari jalan mengatasi isu itu dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan sebagai batal dan tidak sah.

Mohd Na’im yang juga bekas Ketua Hakim Syari Malaysia juga berkata, pihaknya menjunjung tinggi titah Sultan Sharafuddin supaya setiap perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara musyawarah, tertutup serta meraikan perbezaan pandangan secara ilmiah dan berhemah.

Oleh itu, wajar benar rasanya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengawal dirinya dari terus melanggar tembok dalam berurusan dengan Raja-raja Melayu.

Ini kerana, sudah dua kali beliau ditegur oleh Raja-raja Melayu dalam menjalankan tugasnya dan dianggap tidak menghormati pemerintah paling tertinggi iaitu institusi Raja-Raja Melayu.

Takiyuddin pemimpin PAS pertama yang pernah ditegur terang-terangan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Sultan Selangor atas perbuatan tidak menghormati institusi itu.

Kes yang pertama ketika Takiyuddin mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen tanpa perkenan baginda Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al Sultan menerusi kenyataan rasmi Istana Negara, menzahirkan rasa amat dukacita kerana pembatalan itu belum lagi diperkenan baginda.

Kedua, adalah ketika Takiyuddin mengisytiharkan ‘Jumaat yang hitam’ selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan, 9 Februari lalu.

Perkara itu mendapat teguran langsung dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, baginda bertitah kenyataan seperti ‘Jumaat hitam’ itu menimbulkan polemik sehingga mengelirukan umat Islam.

Bagaimanapun selepas Sultan Sharafuddin membuat teguran itu, Takiyuddin tetap mempertahankan kenyataannya.

Dalam sidang medianya, Takiyuddin berdalih, mengatakan bahawa ia adalah respons biasa yang dibuatnya selaku peguam apabila ada kes yang tidak berpihak kepadanya.

“Bila saya kalah kes, saya kata ‘ini Isnin yang hitam, atau Selasa yang hitam. Ia hari yang hitam untuk anak guam sanya,” katanya dalam nada bergurau ketika sesi dialog antara pemimpin PAS dengan media berbahasa Cina di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Itu (hari yang) hitam untuk kami…kerana undang-undang kami di Kelantan diisytihar tidak sah dan tidak berperlembagaan,” katanya.

Respon itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyifatkan perbuatan Takiyuddin yang ditegur terang-terangan oleh Sultan dan Agong, bukanlah satu perkara yang membanggakan

“Takiyuddin MP pertama ditegur terang-terangan oleh Yang di-Pertuan Agong Agong (kerana kelirukan Dewan) dan Sultan Selangot (kerana mempolitikkan keputusan Mahkamah).

“Bukanlah satu perkara yang patut dibanggakan,” ciapnya di aplikasi X bagi mengulas sikap Takiyuddin itu.

Jadi, sebagai rakan dan bekas anak buah, saya berpandangan, elok benar rasanya Takiyuddin mengawal dirinya agar tidak terlanggar tembok buat ketiga kalinya.

Jangan sampai terpijak ‘wayar hidup’ sekali lagi dan bintang politik kita mungkin akan terjejas teruk kerananya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas