Berita

Didakwa Hidup Bermadu, “Saya Tidak Mampu Tutup Mulut Orang”- MIERA LEYANA

ROSLAND dan Miera dalam majlis resepsi mereka malam tadi. Semoga bahagia hingga ke anak cucu. Amin...
- Diterbit 22 Ogos 2020 10:15 PM MYT

KALAU sudah jodoh ketetapan Allah, siapa yang boleh menghalang. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan berdoa, selebihnya adalah kuasa yang Maha Esa. 

Setelah sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Rosland, pelakon Miera Leyana tidak mahu pening kepala dengan komen-komen negatif terhadapnya.

Ini berikutan timbul komen di laman sosial yang Miera kononnya berkahwin dengan lelaki yang berstatus suami orang. 

“Kalau orang nak cakap macam-macam pasal saya, saya tidak mampu tutup mulut mereka. Lagi pun, saya bukan buat perkara tak baik. Saya kahwin secara sah.

“Saya tidak menafikan dan tidak mengiyakan pasal isu itu. Bagi saya, apa yang penting doakanlah yang terbaik buat saya dan suami. 

“Membuat spekulasi pasal perkahwinan ini hanyalah membuang masa sebab ikatan kami halal dan sah sebagai suami isteri. 

“Saya tidak boleh tutup mulut semua orang. Lebih baik kiranya doakan kebahagiaan kami berbanding hendak membuat spekulasi. 

“Kepada yang membuat spekulasi itu, saya doakan yang baik-baik buat mereka,” jelas Miera kepada Wilayahku pada majlis resepsi pasangan itu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, malam tadi. 

Selain keluarga dan teman-teman rapat, majlis resepsi ini turut dihadiri ramai artis popular seperti Ayda Jebat, Nabil Mahir, Liza Hanim, Liza Abdullah, Nelydia Senrose, Emma Maembong, Ziela Jalil, Riz Amin, Hazama, Azlan, Noryn Aziz dan ramai lagi. 

MIERA dan Rosland bercadang mahu menunaikan umrah.

Miera juga akui tidak mahu isu sebegini mengganggu kebahagiaannya. 

“Kalau masih nak cakap yang bukan-bukan pasal saya terserahlah. Saya pun bukan tidak pernah dilanda kontroversi atau tohmahan sebelum ini. 

“Saya buat benda baik (kahwin)  pun orang tetap cakap yang buruk. Bagi saya itu tidak adil. 

“Dalam masa yang sama, saya perlu hormat keluarga saya dan keluarga sebelah suami, jadi saya tidak mahu komen lebih-lebih,” katanya yang berasa bertuah dikurniakan suami yang memahami dan banyak bersabar dengan karenahnya. 

“Pertama kali kami kenal dalam sebuah acara. Kiranya kami kenal melalui kawan. Ramai kawan saya adalah kawan dia juga. 

“Sebelum kahwin, kami berkawan baik selama empat tahun dan tidak pernah bercinta. Jadi, boleh dikatakan kami adalah pasangan yang bercinta selepas kahwin.

“Jujur kami tidaklah terlalu berbincang pasal kahwin kerana kami lebih kepada kawan baik, tapi inilah dikatakan jodoh.

“Doakanlah kami. Janganlah membuat spekulasi macam-macam ya,” ujarnya yang tidak melenting atau marah dengan tuduhan tersebut. 

Miera Leyana, 27, selamat diijabkabulkan dengan usahawan, Rosland Othman, 47, di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 26 Julai 2020. 

Miera dan Rosland dinikahkan oleh bapa Miera, Datuk Seri Kasmi Arsat dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan sahabat terdekat.

Pelakon filem Apokalips X, Pecah dan Lebuh Raya Ke Neraka ini menerima mas kahwin berjumlah RM100. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas