Berita

“Tak Payah ‘Goncang'”, SARAH Tegur Usahawan Sanggup Aibkan Wanita

|SARAH dan suaminya Shuib menjalankan perniagaan tanpa mengaibkan orang lain.
- Diterbit 22 Ogos 2020 3:40 AM MYT

PENYANYI yang juga usahawan terkenal, Siti Sarah Raisuddin,36,  menegur sikap sesetengah usahawan yang sanggup memalukan dan mengaibkan kaum wanita demi meraih keuntungan.

Sarah yang juga isteri kepada selebriti popular Shuib ini meluahkan rasa kecewanya secara terbuka menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam instagramnya. 

“Ada seorang usahawan wanita ni mesej saya. Maki hamun. Kononnya saya nak tutup rezeki dia. 

“Saya tak sebut nama dia. Sekarang ini siapa makan cili, dia yang rasa pedas. 

“Saya bukan manusia yang sempurna. Masih buat dosa. Tapi dalam keadaan sekarang ini, bangsa Melayu, agama Islam, buat marketing macam tu.

“Itu pandangan (peribadi) saya. Saya cuma nak beritahu produk saya tak payah goncang pun boleh buat duit.

“Kalau ada yang terasa saya minta maaf. Tapi dalam keadaan sekarang saya harus cakap apa yang benar. Sekurang-kurangnya, satu hari saya disoal, saya sudah lakukan sesuatu,” luah Sarah yang tidak berniat untuk menyindir sesiapa, sebaliknya hanya sekadar melontarkan pandangan peribadi.

SARAH dan suaminya Shuib menjalankan perniagaan tanpa mengaibkan orang lain.

Dalam video tersebut, Sarah turut meluahkan rasa terkilannya apabila ada usahawan yang meminta dirinya untuk mempromosi produk dengan menggunakan gambar-gambar yang mengaibkan wanita. 

“Ada lah satu jenama ni nak minta tolong saya promosi barang dia. Bila dia mesej,  saya beri salam (tapi tak jawab). Saya tanya dia Islam ke, dia cakap dia Islam.

“Dari situ saya dah nampak adat sebagai orang Islam tidak ada.

“Saya tidak kisah untuk promosi produk apa pun, cuma bila produk yang mengaibkan wanita, Saya tidak boleh.

“Bila dia beri gambar, astagfirullah.. Gambar yang diberi itu memalukan dan mengaibkan kaum wanita.

“Bila cakap tak boleh, dia tetap bagi lagi gambar. Jenis yang tak faham bahasa,” jelas Sarah yang tidak mahu mencari rezeki dengan mengaibkan kaum sendiri. 

Bagi Sarah, soal rezeki ini jangan diambil mudah kerana ia melibatkan anak-anak dan keberkatan dalam hidup. 

“Macam ni, saya kalau dapat duit daripada sesuatu yang saya buat, awak kena faham saya bagi makan anak saya.

“Awak ini perempuan, suatu hari awak akan ada anak dan zuriat. Macam mana tu.

“Sanggup seorang perempuan mengaibkan perempuan lain untuk mencari rezeki.

“Saya nak kongsi satu perkara, kadang-kadang kita ada duit banyak, tapi ada saja masalah. Kehidupan jadi tak tenang.

“Jadi kita kena tengok balik sumber rezeki kita tu. Saya pun bukan baik sangat, tapi keadaan ni berlaku pada ramai orang.

“Saya doakan semoga suatu hari awak berubah dan terbuka hati untuk cari idea lain macam mana nak cari rezeki,” katanya yang berharap pemasaran produk yang memalukan kaum wanita tidak berterusan. 

Selain itu, apa yang membanggakan, bisnes madu Bubble Bee yang diusahakan Sarah dan suami semakin berkembang maju. Semoga terus sukses. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas