Berita

Kabinet berorientasikan hasil perlu peka, amanah dan kembalikan keyakinan rakyat – PM Ismail Sabri

BELIAU akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. BELIAU akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
- Diterbit 27 Ogos 2021 7:51 AM MYT

KABINET berorientasikan hasil” yang diumumkan hari ini perlu berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata beliau akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Beliau juga berikrar akan memastikan Kabinet baharu itu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi dan setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang, serta mencapai sasaran yang ditetapkan, selain perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

“Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan senarai jemaah menteri dan timbalan menteri baharu yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan.

Ismail Sabri berkata Kabinet yang dibentuk hari ini adalah satu pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat dan mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.

“Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

“Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pelantikan Kabinet berkenaan akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik.

Mengakui bahawa negara sedang berada dalam keadaan yang getir akibat COVID-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara, Ismail Sabri berkata misi memulihkan negara memerlukan Jemaah Menteri berusaha dan bekerja bersama dengan rakyat serta dukungan semua penjawat awam. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas