Berita

Jejak Prihatin 2.0 terus bantu masyarakat

SUMBANGAN akan terus disalurkan kepada golongan memerlukan menerusi Jejak
- Diterbit 28 Ogos 2021 1:00 AM MYT

BERIKUTAN kejayaan program Jejak Prihatin yang bermula Julai lalu, penganjurnya RumahPrihatin@GrandSeasons akan meneruskan usaha ini bagi membantu keluarga miskin atau individu terkesan pandemik COVID-19.

Menerusi program ini, mereka menerima sumbangan atau ‘buah tangan’ berupa makanan asas harian daripada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Dalam Jejak Prihatin 2.0 yang akan bermula 25 Ogos ini, sebanyak 3,086 buah keluarga di seluruh Wilayah Persekutuan akan menerima manfaat.

Berbanding sebelum ini, sebanyak 3,853 keluarga menerima ‘buah tangan’ dalam tempoh sebulan program dijalankan.

Menurut Pengarah program Jejak Prihatin, Mohd Herman Misbah , Jejak Prihatin 2.0 diteruskan kerana terdapat keluarga yang masih memerlukan barangan makanan harian.

“Alhamdulillah, sepanjang Jejak Prihatin dijalankan, sudah banyak keluarga miskin atau kehilangan punca pendapatan dibantu.

“Ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan yang sukar sekarang.

“Disebabkan itu, kami akan terus berkhidmat kepada masyarakat dengan meneruskan Jejak Prihatin 2.0,” jelas Herman yang teruja untuk memulakan program ini.

Herman berkata, kejayaan program tersebut telah menarik minat lebih banyak pihak lain untuk tampil bekerjasama.

“Apa yang lebih menarik, kali ini sebanyak 34 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan kami, berbanding hanya empat NGO sebelum ini.

“Kami pun tidak sangka sambutan terhadap program ini begitu menggalakkan. Semoga dengan kerjasama ini, Jejak Prihatin 2.0 akan terus memberikan yang terbaik buat warga wilayah yang terjejas akibat COVID-19,” ujarnya lagi.

Antara NGO yang terlibat dalam Jejak Prihatin sebelum ini adalah Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo), Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Absolute Malaysia dan Youth4WP.

Sedikit info tentang Jejak Prihatin, program ini digerakkan oleh PriVo dan NGO yang akan turun padang, menjejak dan menyantuni rakyat di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mereka akan mengumpul maklumat aduan dan menyampaikan ‘buah tangan’ daripada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa kepada golongan yang memerlukan berdasarkan data yang diterima. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas