Berita

Kabinet belum buat keputusan cadangan halang MP ada kes mahkamah jalankan tugas

- Diterbit 5 Jun 2022 11:32 AM MYT

JEMAAH menteri belum membuat sebarang ketetapan berhubung cadangan untuk menghalang mana-mana Ahli Parlimen yang sedang berdepan perbicaraan kes di mahkamah daripada menghadiri persidangan serta menjalankan urusan lain di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, selain ia merupakan cadangan yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kita belum bincangkan lagi dalam Kabinet secara terperinci dan antara dalam akta tersebut termasuklah Ahli Parlimen yang dihadapkan ke mahkamah tidak dibenarkan masuk ke Parlimen, sama ada dalam undang-undang atau etika di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Ia masih terlalu awal dan kita belum bincangkan secara terperinci dalam Kabinet. Ia (perbincangan) belum dijadualkan bila lagi dan tidak dibawa pada mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

“Kita tak boleh hanya dengar pandangan saya semata-mata (mengenai cadangan berkenaan). (Perbincangan di peringkat) Kabinet bermakna (pandangan) semua menteri. Perincian nanti kita akan bincangkan dalam (mesyuarat) Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa ia masih terlalu awal untuk Kabinet membuat sebarang keputusan mengenainya, selain perlu merujuk kepada Akta Perkhidmatan Parlimen. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas