Berita

Kerajaan sedang kaji kembalikan sistem GST

- Diterbit 5 Jun 2022 11:26 AM MYT

KERAJAAN belum membuat keputusan untuk menukar sistem percukaian dari Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada Cukan Barangan dan Perkihdmatan (GST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedang membuat kajian mengenai sistem percukaian ini dan juga menilai pelaksanaannya sama ada mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada rakyat.

“Kita perlu kaji buruk dan baiknya. Bukan saya umumkan akan laksanakan GST, tetapi saya kata kita akan buat kajian sebab asas kajian hari ini adalah kita kekurangan pendapatan.

“Apabila sistem percukaian ditukar dari GST ke SST, negara kekurangan pendapatan sebanyak RM30 bilion setahun kerana berpindah sistem,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Taman Tugu disini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ismail Sabri berkata, keutamaan kerajaan pada ketika ini untuk melakukan lebih banyak pertimbangan sebelum apa-apa dasar baharu diumumkan selain rakyat perlu difahamkan sebelum langkah seterusnya dilaksanakan.

“Ketika ini, kita perlu tengok adakah kesan dari GST itu akan menaikkan harga barangan, adakah ia waktu yang sesuai sekarang ini ataupun beberapa tahun lagi.

“Kalau kita hendak buat apa-apa atau ingin perkenalkan sistem percukaian yang baharu contohnya, rakyat perlu difahamkan dahulu kerana kita hendak supaya apa yang hendak kita umumkan diterima rakyat, bukan sebaliknya.

“Jangan risau, sampai masanya kita akan dedahkan, tetapi setakat ini ia masih diperingkat kajian,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, kerajaan tidka menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos hidup rakyat dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo ketika lawatannya baru-baru ini. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas