Berita

MARA WP sedia pembiayaan hingga RM50,000 tanpa penjamin

SYED Saifuddin (kiri) bersama pengasas Nie Dior Cosmetic Muhammad Mustakim Lokman Hakim dan Zamzuri Mohammad. SYED Saifuddin (kiri) bersama pengasas Nie Dior Cosmetic Muhammad Mustakim
- Diterbit 5 Jun 2022 12:00 PM MYT

MARA Wilayah Persekutuan sentiasa peka dengan nasib yang menimpa para usahawan terutamanya selepas pandemik COVID-19.

Untuk itu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menggalakkan kebangkitan usahawan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut Pengarah MARA Wilayah Persekutuan, Syed Saifuddin Syd Ahmad, pihaknya menawarkan pelbagai program sebagai tanda sokongan.

“Kita banyak membantu usahawan selepas pandemik atau dalam fasa peralihan endemik dengan menyediakan kemudahan kemudahan pembiayaan dan geran-geran sedia ada.

“Kalau kita lihat kemudahan yang sedia ada, kami turut menyediakan pembiayaan kewangan untuk usahawan tanpa penjamin atau pembiayaan kecil,” katanya.

Syed Saifuddin ditemui dalam Majlis Pelancaran Nie Dior Cosmetic di De Palma Hotel, Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Syed juga memberitahu, MARA juga membuka peluang ini kepada usahawan wanita.

“Kalau untuk usahawan wanita kita boleh beri (pembiayaan) sehingga RM50 ribu tanpa penjamin. Ini kerana kami memberi penumpuan terhadap usahawan-usahawan wanita.

“Pada masa yang sama kami juga menyediakan kaedah geran sebahagian di mana maksimum kita boleh bantu sebanyak 90 peratus.

“Sebagai contoh, sekarang ini kami banyak menganjurkan program pendigitalan. Kepada para usahawan yang mahu terlibat dalam program pemasaran digital atau media sosial, kami sedia membantu.

“Kami mengalu-ngalukan kepada usahawan-usahawan Wilayah Persekutuan dalam pelbagai produk. Bagi usahawan di negeri lain, boleh menghubungi pejabat-pejabat MARA berhampiran,” ujarnya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas