Berita

Jawi – MAIWP lancar Dapur It’am 3.0

- Diterbit 15 Februari 2021 1:58 PM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan program Dapur It’am 3.0 tengah hari ini bertempat di Masjid Mahmoodiah Putrajaya yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, Dapur It’am 3.0 adalah kesinambungan inisiatif yang telah dimulakan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang bulan Ramadan tahun lalu.

“Pogram tersebut berkonsepkan dapur berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan yang menyediakan edaran pek makanan bermasak secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.

“Program ini akan diadakan setiap hari bermula 15 Februari sehingga 11 April 2021,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Mohd Ajib berkata, untuk program itu, MAIWP telah menyumbangkan sebanyak RM1.34 juta yang akan memanfaatkan seramai 134,400 orang.

“Daripada inisiatif tersebut, ia dijangka memberikan manfaat kepada petugas barisan hadapan, petugas kebersihan, pemandu e-hailing, asnaf dan golongan B40, rakan kejiranan bukan Muslim serta lain-lain golongan yang terkesan dan memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan.

“Sebanyak 300 pek makanan bermasak sehari akan disediakan oleh 56 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Ia akan diedarkan pada waktu tengah hari melalui wakil penduduk atau khidmat penghantar makanan,” katanya.

Tambah Mohd Ajib, inisiatif tersebut adalah tanda keprihatinan terhadap golongan yang terkesan dan memerlukan dengan menyasarkan sifar lapar atau setiap keluarga mempunyai makanan di atas meja setiap hari di dalam mendepani tempoh getir pandemik COVID-19 yang melanda negara. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas