Berita

Filem Petaka: Angkat isu keldai dadah, sisi jahat PU Azman mengejutkan!

|Arie Zaharie|||
- Diterbit 15 Februari 2021 11:29 AM MYT

DALAM situasi sekarang ramai yang hidup susah, tidak dinafikan ada sesetengah masyarakat sanggup melakukan apa sahaja demi wang tanpa mengira halal atau haram.

Kisah benar yang sememangnya berlaku dalam masyarakat kita ini ditonjolkan dalam filem Petaka yang kini sedang disiarkan di saluran Astro First.

Dalam filem Petaka, isu keldai dadah yang dipaparkan bukanlah satu isu yang boleh dipandang remeh kerana sudah ramai mangsa.

Sehubungan itu, penerbitnya Arie Zaharie Production Sdn. Bhd. mengambil pendekatan dengan menghasilkan sebuah filem berjudul Petaka yang mengangkat isu berkenaan, di sebalik paparan tentang konflik kekeluargaan.

Penerbitnya, Arie Zaharie berkata, filem ini diinspirasikan daripada kisah benar iaitu membabitkan pelakon utamanya sendiri, Azman Ahmad yang menjaga ibunya yang sakit.

“Sebelum ini Azman Ahmad yang merupakan seorang pelakon pernah berhenti seketika daripada dunia lakonan semata-mata mahu menjaga ibunya yang sakit selama tujuh tahun.

“Kemudian setelah berbincang dengan Azman, kami sepakat untuk menghasilkan filem ini. Cuma, jalan cerita mengenai keldai dadah ini adalah elemen komersial yang kami tampilkan,” ujarnya.

PENERBIT filem Petaka, Arie Zaharie

Setelah menonton filem ini, anda pasti berasakan ia sebuah filem yang dekat di hati kerana jalan cerita yang dipaparkan adalah realiti dan berlaku dalam masyarakat kita.

Pendek kata, filem Petaka ini mempunyai nilai pengajaran atau mesej yang begitu bagus seperti tidak mudah terpengaruh dengan pemangsa keldai dadah, ketaatan kepada keluarga dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Malah, pengorbanan yang dilakukan demi menjaga ibu sakit antara perkara yang perlu ditekankan kerana nilai kasih sayang semakin terhakis dalam sesetengah keluarga.

Sisi hitam pendakwah PU Azman 

Watak pendakwah terkenal PU Azman sebagai Haziq iaitu orang kanan kepada pengedar dadah berpengaruh, antara faktor yang menarik minat masyarakat untuk menonton filem Petaka. 

PU Azman yang menunjukkan sisi hitamnya sebagai penjenayah dalam filem ini sesuatu yang dianggap lain daripada yang lain atau tidak klise. 

Walaupun berstatus pendakwah, itu tidak menghalang PU Azman untuk membawakan watak itu dengan baik sehingga membuatkan penonton geram dengan kejahatannya. 

Emosi marah dan benci yang lahir dalam diri penonton itu membuktikan watak yang dibawa berkesan sehingga mengusik emosi penonton.

Kelainan inilah antara penyebab ramai yang mahu menonton filem ini selain watak Wan Mamimunah sebagai ibu yang tidak boleh dipertikaikan lagi kehebatannya.

Sinopsis

Petaka mengisahkan kemiskinan hidup keluarga Sham selepas kematian ayahnya. Ibunya menderita sakit kaki, manakala adiknya, Syikin tidak mampu ke sekolah kerana kekangan kewangan. 

Sham bekerja keras melakukan kerja-kerja kampung bukan sahaja untuk menyara keluarganya malah demi memenuhi hasrat hati bagi menebus balik rumah pusaka yang sebelum ini terpaksa dijual kerana kemiskinan. 

Kedaifan keluarganya berubah secara drastik apabila Sham menerima tawaran bekerja sebagai pemandu lori barang di kedai perabot Haziq. 

Tugasnya hanya mengambil dan menghantar barangan perabot dari sempadan Thailand ke kedai Haziq di Alor Setar. Haziq bekerja di bawah Datuk Jamil. 

Upah yang diterimanya cukup lumayan buat seorang pemandu lori. Walaupun terdetik di hatinya tentang upah itu, namun Sham teruskan juga pekerjaan tersebut selepas percaya kepada Haziq. Sehinggalah Sham dapat menebus semula rumah pusaka arwah ayahnya. 

Pekerja Haziq, Ima menasihati Sham supaya berhenti daripada pekerjaan itu tanpa mengesyaki apa-apa. Bagaimanapun upah yang diterimanya semakin banyak dan membuatkan Sham mula tertanya-tanya. 

Pesan Haziq supaya dia tidak banyak bertanya dan tengok barang yang dibawanya itu tidak diendahkan. Sham terkejut kerana baru sedar selama ini dia menjadi tukang hantar barang terlarang (dadah). Sham tidak tahu yang dia adalah keldai dadah kepada Datuk Jamil.

Petaka hidup Sham semakin hebat apabila dia gagal menghantar barang Datuk Jamil serta menghilangkannya. Bukan sahaja Sham, konco-konco Datuk Jamil yang diketuai oleh Zamri turut membelasah ibu Sham dan Syikin. Ibu mereka mati dibunuh.

Zamri semakin liar apabila meletupkan Sham di dalam sebuah kereta. Apakah nasib Sham dan Syikin? Semuanya dalam Petaka, sebuah kisah kekeluargaan, kemasyarakatan, kedaifan dan kenaifan.

Filem berdurasi lebih 90 minit yang sedang disiarkan di Astro First  ini membariskan pelakon berkarakter seperti Azman Ahmad, Jaja Iliyes, Nabila Huda, Wan Maimunah, Danish Danieal @ Coki, PU Azman dan Zali Shuhali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas