Berita

Jawatankuasa khas penyeragaman kos Caj dan Fi pembangunan Infrastruktur komunikasi ditubuh

KEPUTUSAN untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas. Kredit foto: FB JPM
- Diterbit 28 Jun 2022 9:25 AM MYT

KERAJAAN hari ini membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di peringkat negeri.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta turut dihadiri Menteri-Menteri Kabinet berkaitan.

Ismail Sabri berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.

“Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya penyeragaman kos caj dan fi itu akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas