Berita

Program UNIDO MAEESTA jimat tenaga bernilai RM26.2 juta setahun

16 syarikat dan fasiliti serta enam kilang yang menyertai program. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 28 Jun 2022 6:34 AM MYT

SEBANYAK 16 syarikat dan fasiliti serta enam kilang yang menyertai program Kecekapan Tenaga Malaysia dan Projek Aplikasi Solar Termal (MAEESTA) berjaya melakukan penjimatan tenaga sebanyak 351,055 megawatt per jam (MWh) bernilai RM26.2 juta setahun sejak 2018.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata MAEESTA, yang dikelolakan oleh Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO), adalah bermatlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam industri dengan menyokong dan menambahbaik kecekapan tenaga.

“Menggunakan teknologi termal solar juga sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara neutral karbon menjelang 2050,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sijil penghargaan UNIDO MAEESTA kepada pemain industri di sini hari ini.

Dr Adham berkata 16 fasiliti yang melaksanakan langkah kecekapan tenaga dan enam kilang yang memasang sistem termal solar itu turut berjaya mengurangkan jumlah pelepasan GHG sepanjang hayat sebanyak 995,554 tan.

Antara syarikat dan fasiliti yang terlibat dalam MAEESTA adalah Toyo Tires Malaysia Sdn Bhd, JB Cocoa Sdn Bhd, Mycron Steel Bhd, Hospital Ampang dan Pusat Jantung Sarawak. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas