Berita

Langgar syarat lesen punca Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar diambil tindakan

Kebun-Kebun Bangsar di Lorong Bukit Pantai di sini didapati telah melanggar syarat Lesen.
- Diterbit 28 Jun 2022 2:15 PM MYT

PENGUSAHA Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar di Lorong Bukit Pantai di sini didapati telah melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LMS) bagi maksud nurseri merupakan punca ia diambil tindakan penguatkuasaan.

Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata, syarat yang diluluskan adalah berkaitan jenis tanaman serta tiada pembinaan struktur kekal yang dibenarkan.

“Bagi maksud nurseri yang diluluskan, ia termasuklah jenis tanaman serta tiada struktur kekal dibenarkan di bawah talian rentis seperti mana ulasan teknikal daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Jelas Muhammad Yasir, pihaknya menerima aduan kacau ganggu daripada penduduk setempat secara bertulis dan lisan yang berpunca dari kebun berkenaan.

“Siasatan mendapati, kebun tersebut memelihara pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri sekali gus telah menimbulkan isu-isu lain seperti pencemaran bau, lalat serta gangguan bunyiyang menjadi punca utama tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Tambahnya, PPTGWP sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah kebun bandar selaras dengan hasrat kerajaan dan kementerian namun pematuhan kepada syarat-syarat LMS perlu dipatuhi bagi kebaikan semua pihak.

Terdahulu, tular di media sosial hari ini berikutan PPTGWP telah mengeluarkan notis pemberitahuan untuk mengosongkan tapak kepada pengusaha tersebut bertarikh 23 Jun lalu. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas