Berita

Jangkaan peningkatan kemas kini, DOSM pastikan sistem PADU sentiasa lancar

- Diterbit 25 Mac 2024 6:15 PM MYT

JABATAN Perangkaan (DOSM) akan memastikan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sentiasa lancar susulan jangkaan peningkatan pengemaskinian menjelang tarikh akhir pada 31 Mac ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata lebih 7.7 juta rakyat Malaysia meliputi 35.1 peratus penduduk negara ini telah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU sejak dilancarkan pada 2 Jan lepas hingga semalam, dan hampir 400,000 pengemaskinian dibuat semalam.

“Kita jangka dalam tujuh hari terakhir ini ‘pengunjung’ akan lebih banyak di kaunter-kaunter PADU. Dengan publisiti dan tahap kefahaman serta kesedaran yang semakin tinggi, kita jangka pengemaskinian akan meningkat, mencecah hingga 40 peratus dalam sehari atau dua hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kaunter PADU di Pejabat Operasi Taiping DOSM Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata di Perak hampir 735,000 pendaftaran diterima setakat ini, namun pihaknya percaya angka itu akan mencapai lebih sejuta dalam masa beberapa hari memandangkan kunjungan ke kaunter-kaunter yang dibuka di seluruh negeri semakin meningkat.

“Hari ini di Perak kita buka lebih 100 kaunter termasuk di kawasan program yang menjadi tumpuan orang ramai, malah kita juga buka kaunter di masjid untuk membolehkan orang ramai yang menunaikan solat tarawih mengambil peluang membuat pendaftaran,” katanya.

Mohd Uzir seterusnya menasihatkan orang ramai yang belum membuat pendaftaran PADU supaya berbuat demikian segera dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelak kesesakan di kaunter serta laman web pendaftaran.

Sementara itu ketika ditemui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan, Seremban kemudiannya, Mohd Uzir berkata dengan dengan berbaki tujuh hari lagi, beliau menjangkakan  pendaftaran PADU di negeri-negeri mampu melepasi 50 peratus. Setakat ini Perlis mencecah 40 peratus dan Negeri Sembilan 37 peratus.

Beliau berkata pangkalan data itu akan memberi banyak manfaat kepada perkembangan ekonomi dan sosioekonomi seluruh rakyat.

PADU yang dilancarkan pada 2 Jan lepas dibuka kepada orang ramai untuk membuat pengemaskinian maklumat hingga 31 Mac ini dengan fasa dua dijangka bermula pada April hingga Jun 2024, yang akan melibatkan pembangunan algoritma mengikut keperluan berpandukan data di dalam PADU.

Mereka yang belum mendaftar dan mengemas kini data diminta berbuat demikian sebelum sistem PADU ditutup pada 31 Mac ini sama ada di laman web https://www.padu.gov.my atau di kaunter PADU berdekatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas