Berita

KKM dapat bayaran balik ventilator rosak – PAC

DATUK Mas Ermieyati Samsudin.
- Diterbit 25 Mac 2024 6:10 PM MYT

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM), yang berjaya mendapatkan bayaran balik RM16,785,910.95 bagi 104 unit ventilator yang tidak berfungsi.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata tindakan KKM itu, selaras dengan syor yang telah dilakukan oleh PAC berhubung pengurusan wabak COVID-19: Vaksin Luput Tamat Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Keselamatan Peribadi, yang dibentangkan di Parlimen pada 30 Okt tahun lepas.

“Tindakan KKM ini selaras dengan syor ketiga laporan itu, bahawa kementerian berkenaan perlu segera menyemak status waranti bagi kesemua 136 unit peralatan ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Kementerian mencadangkan wang yang diperoleh berkenaan diguna dan ditambah oleh Kementerian Kewangan (MOF), bagi memastikan ketersediaan peralatan ventilator di seluruh hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Mas Ermieyati berkata susulan daripada syor yang dilakukan, kementerian juga telah mengambil pelbagai tindakan bagi memastikan lebihan stok boot cover dan protective jumpsuit atau coverall dapat digunakan sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau berkata PAC mahu KKM memastikan kesemua peralatan tersebut berada pada kadar optimal, bagi persediaan berlaku sebarang wabak atau pandemik.

Sebelum ini, PAC turut mengadakan prosiding tindakan susulan berhubung laporan itu pada 7 Mac, dengan memanggil saksi iaitu Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) MOF Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Datuk Seri Norazman Ayob dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM Datuk Dr Norhayati Rusli. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas