Berita

Pusat beli-belah digempur, 46 pekerja warga asing ditahan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Mac 2024 6:30 PM MYT

JABATAN Imigresen Kuala Lumpur menahan  46 pendatang asing tanpa izin yang bekerja di sebuah pusat beli-belah terkenal dekat Jalan Imbi di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jafri Embok Taha berkata dalam Operasi Kutip (Op Kutip) bermula pada 2 petang itu pihaknya turut menahan empat majikan tempatan kerana menggajikan pendatang tanpa izin.

“Semua pendatang tanpa izin yang ditahan melibatkan 20 lelaki dan 26 wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun bekerja sebagai jurujual dan pembantu di kedai-kedai yang beroperasi di pusat membeli-belah ini.

“Mereka yang ditahan adalah empat warga Indonesia, Bangladesh (8), India (10), Myanmar (16) dan Pakistan lapan orang,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

Jafri berkata operasi di pusat membeli-belah itu dijalankan selepas risikan selama seminggu berikutan aduan daripada orang awam yang bimbang mengenai kebanjiran warga asing yang bekerja di premis perniagaan.

Katanya pusat membeli-belah berkenaan merupakan satu daripada 20 lokasi panas pendatang tanpa izin yang telah dikenal pasti di ibu kota.

Menurutnya semua individu berkenaan ditahan kerana melakukan kesalahan  iaitu tidak mempunyai pas atau permit sah, tinggal lebih masa dan gagal mematuhi syarat pas.

“Semua yang ditahan akan menjalani proses dokumentasi di Pejabat Imigresen Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil,” katanya.

Jafri berkata semua majikan yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pandatang tanpa izin sebagai pekerja.

Katanya pihaknya turut mengeluarkan saman saksi terhadap 19 lagi  majikan atas kesalahan sama berikutan mereka tiada di premis ketika operasi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas