Berita

Jangan menangguk di air keruh – Annuar

- Diterbit 20 November 2020 3:57 PM MYT

TERDAPAT beberapa pihak yang mahu mengambil kesempatan dengan menjadi orang tengah dalam pelaksanaan ‘Wilayah Bebas Berniaga’ (WIBB) yang diperkenalkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, beliau menerima maklumat bahawa ada pihak yang mahu mendapatkan wang dengan jalan yang mudah.

“Saya dapat maklumat bahawa ada pihak yang cuba jadi sindiket dia nak jadi orang tengah ambil kawasan malah ada berebut kawasan.

“Mereka ambil kawasan dan pasang gerai sebab hendak kutip duit daripada aktiviti itu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 41 lesen perniagaan ruang niaga di tapak usahawan Foodtruck Presint 14, Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Annuar berkata, beliau mahu Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bekerjasama dengan pihak PBT agar pelaksanaan inisiatif tersebut tidak menimbulkan masalah kepada peniaga.

“Tidak payah ada orang tengah dan ada tauke dan sebagainya sebab tujuan kita buat ini nak suruh rakyat dapat cari duit tambahan.

“Kalau ada orang tengah kena bayar mereka pulak. Ini sudah tidak menepati sasaran program ini.”

“Pihak MPP juga boleh berperanan dalam membantu dan mengatur tapak untuk para peniaga,” katanya sambil menasihatkan agar para peniaga tidak terlibat dengan sindiket berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas