Berita

NABILA RAZALI Tarik Diri Dari Separuh Akhir Muzik Muzik 35

- Diterbit 20 November 2020 10:10 AM MYT

HARAPAN peminat untuk melihat penyanyi Nabila Razali menyertai pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) tidak kesampaian apabila penyanyi itu menarik diri dari bertanding.

Nabila yang  sepatutnya menyanyikan lagunya Peluang Kedua pada Ahad ini mengambil keputusan tersebut atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. 

Menurut pengurusnya, Ash atau nama sebenarnya Mohd Asrul Abdul Talib, keputusan terbabit dibuat selepas mendapat nasihat doktor, guru vokal Datuk Syafinaz Selamat dan komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini & MFMF.

“Dukacita saya ingin memaklumkan bahawa artis di bawah jagaan saya, Nabila Razali tidak dapat membuat persembahan di SFMM35 yang bakal berlangsung bermula malam ini atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Asrul berkata, berehat adalah jalan terbaik buat Nabila setelah pelbagai usaha rawatan telah dilakukan seperti mendapatkan khidmat doktor pakar 

“Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas SFMM antara yang menjadi impiannya sebagai penyanyi. Dia sudah menjalani latihan vokal sejak September lalu dengan Syafinaz sebagai persiapan awal. Namun, masalah ini dikesan sejak minggu lalu menjadi semakin teruk,” katanya yang masih dalam perbincangan untuk mencari pengganti Nabila. 

“Pihak kami masih mengusahakan siapa pengganti terbaik untuk lagu ini. Sebarang perkembangan mengenainya akan diberitahu kemudian. Pihak produksi juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini. Segala kesulitan amatlah kami kesali,” ujarnya lagi.

Semoga Nabila cepat sembuh dan segala urusan mencari pengganti untuk menyanyikan lagu Peluang Kedua dipermudahkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas