Berita

JAIS teliti laporan pelajar tahfiz parah dipukul

BANGUNAN JAIS di Shah Alam, Selangor. - Gambar hiasan
- Diterbit 13 Mac 2020 3:58 PM MYT

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima laporan penuh berhubung pergaduhan hingga mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang pelajar sebuah maahad tahfiz di Tanjong Karang, Selangor, kelmarin.

MOHD SHAHZIHAN

Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, laporan itu diterima pagi tadi dan sedang diteliti oleh Bahagian Pendidikan Islam JAIS sebelum beliau menerima taklimat lengkap pada minggu depan.

“JAIS sangat berdukacita dengan kejadian ini dan tidak wajar berlaku sama sekali.

“Bagaimanapun, kes ini tidak mengambarkan keseluruhan pelajar aliran agama, apa lagi pelajar tahfiz,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Wilayahku.

Beliau menegaskan adalah tidak adil menghukum secara pukal terhadap keseluruhan pelajar tahfiz atau pelajar aliran agama lainnya.

“Pelajar terlibat telah diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa. Biarlah undang-undang mengadili mereka sekiranya benar-benar dengan niat atas perbuatan mereka itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan difahamkan wakil Persatuan Institut Tahfiz al-Quran negeri selangor (PITAS) telah menasihati pihak-pihak terlibat bagi mengambil langkah sewajarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas