Berita

SMK Mutiara, SK Kerupang muncul juara

PASUKAN SMK Mutiara bergambar selepas muncul johan.
- Diterbit 13 Mac 2020 4:33 PM MYT

LABUAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara dan Sekolah Kebangsaan Kerupang masing-masing muncul juara Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) ke-20 yang diadakan di Kompleks Sukan di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama lima berhari bermula 9 Mac lalu menyaksikan SMK Mutiara berjaya mengutip 18 emas, 9 perak dan 8 gangsa dengan jumlah keseluruhan sebanyak 35 pingat sekali gus mengangkat gelaran johan bagi kategori sekolah menengah.

Bagi peringkat sekolah rendah, SK Kerupang merangkul johan dengan mencatatkan 6 emas,1 perak dan 2 gangsa mengatasi sekolah-sekolah lain.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan pula dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori perbarisan terbaik.

RAISIN (tiga dari kiri) hadir pada majlis penutupan Kejohanan MSSWPL ke-20 semalam.

Majlis penutupan disempurnakan Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin.

Beliau berkata, program sukan itu mampu memupuk kerjasama dan merapatkan ukhuwah dalam kalangan pelajar.

“Sasaran utama kita adalah ukhuwah yang terjalin antara satu sama lain dan kualiti kesihatan yang kita peroleh sepanjang melaksanakan sukan ini.

“Jalinan ukhuwah dan kualiti kesihatan perlu berterusan supaya impaknya nanti dikecapi dan seterusnya dapat meningkatkan kesihatan serta kualiti kehidupan serta melahirkan atlet yang berpotensi dan hebat,” katanya.

Beliau berkata, program itu juga dapat memupuk nilai-nilai positif, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan diri – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas