Berita

Zii Jia tumbangkan Chen Long, mara ke separuh akhir

ZII JIA mencipta kejutan apabila menumbangkan Chen Long pada aksi suku akhir Seluruh England 2020 hari ini.
- Diterbit 13 Mac 2020 3:45 PM MYT

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melakar kejutan apabila menumbangkan bekas pemain nombor satu dunia dari China, Chen Long 21-12, 21-18 pada peringkat suku akhir Seluruh England, yang berlangsung di Arena Birmingham, hari ini.

Zii Jia yang dikatakan bakal menggantikan legenda negara, Datuk Lee Chong Wei hanya mengambil masa 49 minit untuk menumbangkan Chen Long yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Brazil 2016.

Menanti Zii Jia pada peringkat separuh akhir Seluruh England sama ada pemain China, Shi Yu Qi atau bintang dari Denmark, Victor Axelsen yang dijadual beraksi esok.

Terdahulu, Zii Jia mara ke peringkat suku akhir apabila mengetepikan Lu Guang Zu dari China dengan keputusan 21-10, 21-16 pada aksi pusingan kedua.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-13 dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakar kemenangan di pusingan pertama kejohanan badminton berprestij ini apabila menundukkan Jonatan Christie dari Indonesia, 21-15, 21-13. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas