Selebriti

“Jagalah adab dalam media sosial” – Lia Natalia

- Diterbit 14 Jun 2021 11:57 PM MYT

SEDARKAH kita bahawa komunikasi harian lebih banyak menggunakan aplikasi media sosial berbanding komunikasi secara bersemuka.

Tidak dinafikan, situasi ini adalah seiring dengan peredaran zaman yang memudahkan kita semua berkomunikasi walaupun berada dalam jarak yang jauh.

Namun, bagi pelakon drama bersiri Cukup Derita Itu, Lia Natalia, 28, berharap masyarakat tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi berita yang belum pasti kebenarannya.

“Ada sesetengah individu sentiasa mahu menjadi orang pertama berkongsi apa sahaja di media sosial. Biasanya golongan ini mahukan perhatian.

“Apa pun niatnya, itu hak masing-masing tetapi janganlah kongsi maklumat yang belum pasti sahihnya.

“Bukan apa, ia boleh menimbulkan serangan panik kepada masyarakat. Iyalah, misalnya sebelum ini tular berita palsu kononnya vaksin boleh menyebabkan kematian.

“Ini boleh menyebabkan masyarakat tidak mempercayai vaksin yang sepatutnya diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” ujar Lia yang menganggap perkongsian berita palsu boleh menyebabkan kekecohan dalam masyarakat.

Lia menyeru agar masyarakat gunakan media sosial sebaik mungkin untuk kebaikan bersama.
“Jagalah ada dalam media sosial. Itu kan lebih baik.

“Apabila perkara yang belum sahih dikongsi, maka kekecohan akan timbul dan menyebabkan keadaan menjadi lebih tegang.

“Jika anda sendiri tidak pasti, janganlah menyebarkan maklumat tersebut dan diam sahaja. Biarkan ia berlalu begitu sahaja,” ujar Lia Natalia lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas